Isnin, 4 Mei 2015

Jangan menyekat hak berhimpun




Oleh Khaw Lake Tee


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dengan sukacita mengambil maklum bahawa perhimpunan “May Day” / Anti-GST di Kuala Lumpur pada 1 Mei 2015 telah berlangsung dengan aman dan juga telah dimudahcara oleh pihak polis.

Walau bagaimanapun, Suhakam telah mengenal pasti beberapa aspek di mana hak kepada kebebasan berhimpun secara aman boleh dipertingkatkan.

Suhakam kesal dengan penangkapan beberapa orang peserta perhimpunan aman tersebut, dan menyeru pihak berkuasa untuk membebaskan semua orang yang ditahan dengan segera dan tanpa syarat, kerana hak untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan aman adalah penting untuk demokrasi yang berfungsi.


Suhakam mengulangi bahawa hak kepada kebebasan berhimpun secara aman di Malaysia dijamin didalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, Perkara 20 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan Perkara 24 Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean.

Suhakam menekankan semula bahawa sebarang sekatan kepada hak kepada kebebasan berhimpun secara aman mestilah perlu, seimbang dan tidak mengancam nilai-nilai toleransi dan pluralisme.

Suhakam juga menegaskan bahawa polis mempunyai obligasi untuk melindungi dan memudahcarakan perhimpunan aman, termasuk perhimpunan yang menyuarakan perbezaan pendapat. Tindakan penangkapan dan pendakwaan peserta selepas sesuatu perhimpunan aman bukan sahaja adalah tidak perlu tetapi juga tidak seimbang.

Suhakam juga kecewa dengan apa yang kelihatan sebagai satu taktik tangkapan secara besar-besaran berikutan suatu perhimpunan aman dan berpendapat bahawa penangkapan dan tempoh tahanan yang berpanjangan tidak selaras dengan prinsip-prinsip kebolehizinan sekatan kepada hak-hak asasi manusia, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Oleh itu, Suhakam menyeru pihak berkuasa untuk memastikan bahawa tiada sesiapa yang dijenayahkan atau terdedah kepada ancaman atau ugutan dan ganguan sebenar, kerana melaksanakan hak perlembagaan mereka untuk berhimpun secara aman.

Suhakam menyeru pihak berkuasa untuk mengiktiraf bahawa hak kepada kebebasan berhimpun secara aman memainkan peranan penting dalam kemunculan dan penyelenggaraan sistem demokrasi yang berkesan, dan menggesa Kerajaan untuk menunjukkan komitmen dalam menegakkan standard hak asasi manusia antarabangsa dengan menggalakkan persekitaran yang selamat dan yang membolehkan semua rakyat Malaysia untuk melaksanakan hak kepada kebebasan berhimpun secara aman.

Pihak berkuasa juga hendaklah memastikan bahawa anggota polis dilatih secukupnya berhubung dengan norma-norma antarabangsa mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman. –

* Dr Khaw Lake Tee merupakan pemangku pengerusi Suhakam.

Tiada ulasan: