Khamis, 21 Mei 2015

Hidup ‘sebuah perjuangan’, kata Najib ketika bentang RMK11

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hari ini beliau wajib menghitung doa dan berharap RMK11 akan disokong dan memanfaati semua lapisan masyarakat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Mei, 2015.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hari ini beliau wajib menghitung doa dan berharap RMK11 akan disokong dan memanfaati semua lapisan masyarakat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, . 



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini menerima tekanan dan kritikan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan hidup adalah perjuangan ibarat lautan yang sering dilanda ombak.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini, Najib menyeru kepada "rakan-rakan yang setia" untuk bersabar kerana kelak mereka akan bertemu kemenangan.

"Ternyata, benarlah kata-kata para alim dan pujangga, hidup ini sememangnya sebuah perjuangan, laksana lautan yang jarang tenang. Sekali ombak naik, sekali ombak turun. Pergantian musim hujan dan panas, adakala masa susah dan ada kala masa senang.


"Justeru, saya menyeru kepada rakan-rakan yang setia, sekiranya kita bersabar, seandainya kita terus kukuhkan kepercayaan, juga keyakinan di dada, bertawakal kepada yang Maha Kuasa, kelak, akan terbentanglah jalan keluar dan kemenangan buat kita," katanya sebelum menamatkan pembentangan tersebut.

 Dr Mahathir semakin lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya membabitkan isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Begitulah, kita wajib menghitung doa dan berharap RMK11 ini akan disokong dan memanfaati semua lapisan,” kata Najib.

"Tak kiralah, Pak Tani di kebun, pesawah di bendang, para nelayan, golongan kolar biru dan putih, ahli-ahli korporat mahupun cendekiawan, hatta kepada saudara-saudari kita di seberang sana, saya mengajak agar sama-sama mendokong usaha murni kerajaan untuk menulang Malaysia gagah dan megah di persada antarabangsa. 

Tiada ulasan: