Rabu, 20 Mei 2015

DAP: Helah Hadi makin terserlah

MALAYSIAKINI



 
 
 
DAP hari ini menzahirkan rasa terkejut dengan idea kerajaan perpaduan bersama BN yang didakwa Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mendapat persetujuan mereka.

“Ini satu pendedahan yang mengejutkan kerana pemimpin DAP langsung tidak pernah diberitahu tentang kerajaan perpaduan bersama Umno dan BN pada tahun 2009.

“Hadi mungkin berminat dengan idea tersebut, namun cadangan kerajaan perpaduan itu pastinya telah mengesampingkan DAP secara keseluruhan,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan hari ini, Lim membangkitkan kebimbangan terhadap dakwaan “kerjasama erat Hadi bersama Umno dan BN kian terserlah hari demi hari”.

Lim berkata “Hadi telah menyerlahkan helahnya” apabila secara terbuka menyokong Datuk Seri Najib Razak (kanan) terus menjadi Perdana Menteri, tanpa mengambil kira isu semasa negara.

Ia, kata Lim, termasuk kontroversi sekitar syarikat pelaburan negara 1MDB, kesan buruk ekonomi akibat cukai baranhan dan perkhidmatan (GST) selain serangan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Najib.

“Pendedahan Hadi tentang rancangan kerajaan perpaduan pada tahun 2009 di tengah-tengah krisis perlembagaan di Perak, yang beliau nampaknya masih berminat, menunjukkan sejauh mana beliau bersekutu dengan Umno dan BN,” katanya.

Lim berkata Hadi mengabaikan slogan “PAS untuk Semua” dan penduduk Sabah dan Sarawak serta bukan Melayu dengan hasrat “kerajaan perpaduan pakatan Melayu sahaja” bersama Umno dan BN.

“Hadi mungkin tidak peduli bahawa tindakan sedemikian akan dilihat sebagai pengkhianatan oleh pengundi bukan Melayu serta pengundi di Sabah dan Sarawak yang telah menyokong PAS ketika pilihan raya umum yang lalu.

“Bagaimana pun PAS akan mendapat balasan daripada pengundi anti-BN, yang tidak senang dengan tindakan Hadi yang cuba menubuhkan kerajaan perpaduan secara rahsia dengan BN, dalam pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Selain DAP, PKR juga menafikan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana pimpinan parti itu telah atau pernah bersetuju dengan idea bergabung dengan BN.

BN pula tak dapat terima

Dalam sesi dialog di Kuala Lumpur semalam, Hadi mendakwa pihaknya mengemukakan idea kerajaan perpaduan yang dipersetujui bersama dengan Anwar dan bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Hadi (bawah) berkata idea itu ketengahkan selepas krisis menteri besar di Perak.

"Pada masa itu, BN cuba nak pancing kita. Kita tidak mengulangi untuk menyertai BN.

"Biasanya sejarah dahulu tidak berulang benda yang sama. Jadi kita kemukakan idea kerajaan perpaduan.

“Ini dipersetujui bersama pertemuan antara saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am. Dan kita bersetuju ketengahkan perkara ini.

"DAP pun bersetuju. Tapi malangnya perkara itu terbantut kerana BN tidak dapat menerimanya. Itu ceritanya. Benda tu dah hilang. Dah luput daripada sejarahnya."
 
 

Tiada ulasan: