Isnin, 11 Mei 2015

Cuba bunuh diri kerana tekanan GST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Seorang ahli perniagaan dilaporkan cuba membunuh diri menjelang penutupan kedai perkakasannya akibat tertekan dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Dalam laporan muka depan akhbar China Press hari ini, Tan Huo Ming dari Teluk Intan, Perak tertekan kerana menghadapi masalah kesan daripada GST yang mula dilaksanakan 1 April lalu.

Akhbar itu melaporkan, Tan beberapa kali mengadu kepada keluarga dan jirannya kerana belum melengkapkan kedainya dengan kemudahan komputer yang merekodkan transaksi GST di kedai berkenaan.

"Pada awalnya Tan berbelah bagi sama ada mahu meneruskan perniagaan atau menutupnya. Selepas dipujuk ahli keluarga dia akhirnya bersetuju menutup kedai itu hari ini," lapor akhbar berkenaan.

Bagaimanapun berlaku kejadian tidak dijangka semalam ketika ahli keluarga Tan bersiap-siap untuk meraikan dia dan isterinya sempena sambutan Hari Ibu di sebuah restoran.

Dengan rasa yang sedih, Tan dilaporkan memanjat pagar ke rumah jiran sebelahnya, menyerahkan sejumlah wang sebelum menelan sebotol kecil racun.

Enggan dipujuk

Menurut jiran yang enggan dikenali itu, dia cuba menghalang Tan membunuh diri sebaliknya gagal apabila lelaki menyerbu ke rumah berkenaan dan mengurung dirinya di dalam bilik.

Tan kemudian memecahkan kaca dan mengelar pergelangan tangannya.

Apabila dipujuk, Tan enggan melayan jiran berkenaan sebaliknya meminta supaya dia dibiarkan mati.

Jiran berkenaan memanggil rakannya dan mereka kemudian memecah pintu bilik rumah jiran Tan. Di situ mereka menemui Tan terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

Dia kemudian dikejarkan ke hospital dan sempat diselamatkan.

Menurut anak perempuan Tan, bapanya itu sangat susah hati sejak GST mula dilaksanakan.

Isteri Tan pula berkata, dia berjaya memujuk lelaki itu menutup kedai beberapa hari lalu tetapi percaya keputusan itu amat berat untuk diterimanya sehingga dia memutuskan cuba membunuh diri.
 

Tiada ulasan: