Rabu, 20 Mei 2015

Bekas pengarah eksekutif Tanjung Offshore ditahan siasatan rasuah

 OLEH MUZLIZA MUSTAFA


 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas pengarah eksekutif Tanjung Offshore Bhd untuk membantu siasatan kes rasuah.

Bekas pengarah itu adalah antara empat orang yang dipanggil ke ibu pejabat SPRM petang ini untuk dirakam keterangan mereka dalam pembelian anak syarikat Tanjung Offshore iaitu Gas Tec pada 2013, kata sumber yang rapat dengan siasatan.

SPRM dijangka mendapatkan perintah reman ke atas bekas pengarah itu esok. Tiga yang lain dibebaskan selepas SPRM merampas dokumen mereka dan merakam keterangan mereka.


Tanjung Offshore memperoleh 49% kepentingan ekuiti atau 2.35 juta saham dalam Gas Generator (M) Sdn Bhd (Gastec) sebanyak RM34.3 juta pada bulan Oktober 2013.

Gastec terlibat dalam pembuatan jana kuasa gas untuk industri gas dan minyak. Menurut Star Online, ada laporan menyebut Tanjung Offshore membayar harga yang terlalu mahal untuk Gas Tec.

Namun dakwaan itu dinafikan Tanjung Offshore yang menyebut pembelian adalah berdasarkan persetujuan pembeli dan penjual.

Tanjung Offshore juga sedang disiasat berhubung pembelian hartanah di United Kigdom pada harga RM58.07 juta.

Pemegang saham terbesar Tanjung Offshore adalah Lembaga Tabung Haji iaitu sebanyak 7.99%.
Pemilik lain adalah Tan Sri Tan Kean Soon yang memiliki hampir 6% berdasarkan pemfailan syarikat pada bulan Oktober.

Tiada ulasan: