KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini menjelaskan bahawa baki pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion, telah ditebus dalam bentuk aset dan bukannya wang tunai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, baki pelaburan itu ditebus dalam mata wang dolar US (US$) dan masih disimpan di BSI Bank Limited Singapore (BSI Singapore), bertujuan untuk mengimbangi liabiliti dolar US syarikat.

"Bank ini merupakan penjaga bagi pihak 1MDB ke atas aset tersebut," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis kepada Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara), yang diedarkan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pua bertanya sama ada kumpulan 1MDB masih mempunyai US$1.1 bilion secara tunai dalam akaun Bank BSI, yang merupakan penebusan daripada pelaburan di Cayman Islands.

Menurut Najib, penjelasan ini merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan pada Mac lepas bahawa baki dana pelaburan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu telah ditebus dan dalam bentuk wang tunai.  -Bernama