MALAYSIAKINI
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara
supaya jangan mudah terpedaya hasutan pembangkang atau tawaran syarikat
menjanjikan taraf kerakyatan sesebuah negara.
Beliau berkata rakyat Malaysia yang telah melucutkan kewarganegaraan
tidak mudah mendapat kembali taraf kewarganegaraan itu selaras dengan
Peraturan 16A, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Bagi mereka yang melucut kerakyatan 'tiada maaf bagimu', kecuali
mengikut Peraturan 16A sebagaimana yang ada dalam Peraturan Imigresen
1963.
"Jangan sekali-kali mudah melucut kewarganegaraan, jangan benci pada
negara ini dan terjebak dengan kebencian kononnya berhijrah ke negara
luar dan ada syarikat yang menguruskan kewarganegaraan," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan program 'Jom Sihat' anjuran Universiti
Putra Malaysia (UPM) di Bagan Datoh hari ini.
Beliau berkata rakyat Malaysia yang mempunyai Pas Residen untuk bekerja
atau belajar di luar negara dan berhasrat kembali ke tanah air untuk
menjadi tenaga profesional, kepulangan mereka akan dipermudahkan.
"(Ini kerana) mereka (individu profesional) adalah bakat, tenaga
cendekiawan, mereka mempunyai ilmu balik ke negara ini untuk membantu
pembangunan ekonomi Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menafikan kenyataan Anggota Parlimen Tanjong
Ng Wei Aik daripada DAP yang mendakwa kononnya sebanyak 1,000 pemegang
pasport Kerakyatan Luar Negara British (BOC) telah diterima pulang oleh
kerajaan Malaysia.
Beliau berkata setakat ini hanya tiga orang pemegang pasport BOC
diterima pulang ke Malaysia tetapi mereka menerima Pas Residen dan
bukannya taraf kewarganegaraan.
"Untuk (negara) UK (United Kingdom) sebanyak 673 orang (melucutkan
kewarganegaraan Malaysia) telah memohon (untuk kembali menjadi
warganegara) dan daripada jumlah itu sebanyak tiga orang diberi taraf
Pas Residen," jelasnya.
Semalam, Ahmad Zahid berkata Pas Residen hanya merupakan kebenaran yang
diberikan kepada warganegara asing untuk tinggal di Malaysia untuk
tempoh lima tahun dan boleh memohon untuk disambung setiap lima tahun.
"Sekiranya pemegang Pas Residen ini ingin mendapatkan kembali taraf
kewarganegaraan, mereka perlu melalui proses sebagaimana warganegara
asing yang mahu memohon dan mereka perlu menunggu 17 tahun dan
membuktikan bahawa mereka taat setia kepada negara dan memenuhi syarat
permohonan termasuk ujian kemahiran dalam Bahasa Melayu," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan