Apabila Umno hilang dua pertiga majoriti, tiba-tiba mereka sokong Kelantan laksanakan hudud.
AMPANG JAYA : Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa sokongan Umno terhadap hudud hanya semata-mata untuk memecahbelahkan parti komponen PR seperti mana yang berlaku kepada Barisan Alternatif pada 2004.
Katanya, apabila Umno hilang dua pertiga majoriti, ketika tiada tanda-tanda sokongan rakyat kembali pulih, tiba-tiba mereka sokong Kelantan laksanakan hudud.
“Saya percaya sokongan Umno itu hanya bertujuan memecahbelahkan PR,” dakwanya selepas berucap pada siri kempennya di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini, hari ini.
Jelasnya, satu masa dahulu, Barisan Alternatif (BA) berpecah akibat isu negara Islam yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang ketika itu, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor namum tidak disepakati oleh DAP dan Keadilan.
“Semua orang tahu kesan politik pada 2004 itu adalah pencapaian terbaik Umno-BN di negara kita.
“Apa sahaja isu yang bertujuan dan ada potensi untuk memecahbelahkan PR, Umno akan mencuba seberapa daya mungkin,” dakwanya.
Tambahnya, lebih menghairankan lagi apabila sikap bermuka-muka pemimpin Umno-BN kian terserlah sedangkan mereka sebelum ini lantang menetang keras pelaksanaan hukum hudud.
“Saya tidak boleh padam dalam ingatan saya serangan menempelak hudud datang dari Tun Dr Mahathir Mohammad…datang daripada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) …hatta daripada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sendiri.
“Serangan luar biasa dengan alasan tidak adil sebab yang kena potong tangan orang Islam sahaja, akibatnya orang Islam tidak produktif, bukan Islam pula akan lebih maju di negara kita,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata tindakan pemimpin tertinggi Umno-BN yang menyokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan sejak kebelakangan ini didakwa sekadar membawa agenda politik tersembunyi.
Saifuddin mendakwa sokongan terbuka pelbagai pihak termasuk timbalan perdana menteri sendiri tidak menunjukkan kesungguhan Umno-BN untuk melaksanakan hukum syariat itu.
“Sedetik pun saya tiada keyakinan Umno jujur untuk menyokong melaksanakan hukum hudud ini.
“Bagaimana dia (Umno) boleh menyokong Kelantan sedangkan mereka sendiri menolak hudud di Terengganu,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan