Hudud


SHAH ALAM - Kekhuatiran sesetengah pihak bagi pelaksanaan hukum hudud tiada asasnya kerana undang-undang itu menjamin keadilan dan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, perkara itu berlaku kerana masyarakat hanya melihat kepada hukuman, bukannya keadilan yang diangkatnya.

“Kalau kita tahu apa prinsip-prinsip hukum mencuri, tidaklah jika mencuri RM10 sudah boleh dijatuhkan hukuman potong tangan. Ia akan mengambil kira sebab individu itu mencuri, mungkin ia berada dalam kebuluran.

“Tapi kalau itu merupakan puncanya, hukum hudud tidak akan dilaksanakan ke atasnya, mungkin dihukum berdasarkan undang-undang mahkamah sekarang, dipenjara atau sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Kata beliau, keraguan itu perlu dihapuskan kerana hudud bukan bersifat menghukum semata-mata tetapi ia akan memberikan pengajaran yang berguna memandangkan undang-undang itu memerlukan pembuktian yang terlalu tinggi.

“Kalau jenayah mengikut undang-undang sivil, pendakwaan perlu bukti melampaui keraguan munasabah, tapi kalau dapat pembuktian balik bagi keraguan munasabah, ia tidak boleh sabit.

“Tapi hudud pembuktian melampaui apa-apa keraguan, jika ada sedikit keraguan, hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan.

"Tapi jika orang yang didakwa melakukan kesalahan itu, beliau boleh dijatuhkan hukuman hudud,” ujarnya.

Tambahnya, jika kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakan hudud, ia perlukan kerangka undang-undang yang jelas bagi melaksanakan undang-undang itu.

“Lihat kembali Perlembagaan supaya tidak dilanggar, ia perlu supaya tiada orang yang boleh cabar balik apa yang dilaksanakan mahkamah.

“Undang-undang ini memerlukan saksi yang adil iaitu orang Islam tidak lakukan dosa besar dan tidak lazim melakukan dosa kecil, bermakna di sini tidak mudah apa-apa hukuman hudud itu untuk menjatuhkan kepada seseorang,” katanya.