MH370


PERTH - AUSTRALIA. Pihak Berkuasa Keselamatan Australia (AMSA) hari ini telah mengesahkan bahawa pasukan mencari tidak lagi mengesan sebarang isyarat keselamatan atau isyarat 'ping' kotak hitam dari dasar laut.

Menurut Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC), isyarat kotak hitam yang dikesan sejak Mac tidak lagi menghasilkan gelombang isyarat dalam tempoh 24 jam lepas.

"Pasukan mencari tidak dapat mengesan sebarang isyarat yang mungkin berkaitan dengan kotak hitam, namun usaha mencari MH370 masih diteruskan tanpa henti.

"Hari ini, krew pasukan akan mengesan gelombang isyarat kotak hitam 4.5 kilometer dengan menggunakan Kapal HMS Echo dan boya sonobuoys yang dijatuhkan dari pesawat," katanya menerusi laporan Malaysiakini.

Pihak AMSA telah mengerah aset kapal, pesawat dan kapal selam dari Australia, Amerika Syarikat (AS), China, Britain dan Malaysia bagi mengesan lokasi MH370 di atas dan bawah permukaan Laut Hindi sejak 12 Mac lalu.

Pada 5 April lalu, sebuah kapal China Haixun 01 telah mengesan satu isyarat atau gelombang elektronik yang dipercayai terhasil dari kotak hitam pesawat ketika melakukan operasi mencari MH370 lokasi yang berkeluasan 217,000 kilometer persegi di Laut Hindi.

Namun pasukan cari tidak lagi mengesan penghasilan isyarat terbabit sejak semalam.