Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan sedang berbincang mengenai modus operandi menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
  
Katanya, perbincangan itu diadakan berikutan ia adalah pertama kalinya seksyen ini digunapakai di negara ini.
 
Beliau berkata pada Isnin lepas, kerajaan negeri dan agensi persekutuan termasuk Pejabat Peguam Negara telah mengadakan perbincangan intensif untuk menggunakan seksyen berkenaan bagi menjayakan penstrukturan semula industri air Selangor.
  
"Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan saya telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan pada Jumaat ini.
 
"Ini bagi menyelaraskan proses untuk memastikan industri air akhirnya dipulangkan semula kepada kerajaan negeri menerusi anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini.
  
Abdul Khalid berkata, walaupun proses perbincangan mengambil masa lama tetapi ianya perlu agar penguatkuasaan dibuat selari dengan undang-undang WSIA serta tidak boleh dicabar di mahkamah oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati.
 
Beliau berkata, kerajaan negeri yakin mekanisme atau modus operandi yang digunapakai untuk mengambil alih perkhidmatan air akan menguntungkan kerajaan negeri kerana pampasan yang perlu dibayar kepada pemegang konsesi lebih murah iaitu RM7.65 bilion berbanding tawaran awal sebanyak RM9.65 bilion.
  
Ini berikutan suntikan RM2 bilion oleh Kerajaan Pusat.
  
Empat syarikat konsesi itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).
  
"Kerajaan negeri dan Persekutuan sedang mengkaji kaedah bersesuaian yang memenuhi keperluan seksyen berkenaan supaya penguatkuasaannya tidak membawa kesan buruk kepada pihak yang terlibat.
  
"Kerajaan Selangor menaruh kepercayaan tinggi bahawa penstrukturan semula (industri) air akan diselesaikan...seperti yang dipersetujui menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) air yang dimeterai pada 26 Februari lepas," katanya.
  
Melalui MoU itu, kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran kepada pihak pusat untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) di Selangor. - Bernama