Sabtu, 19 April 2014

Penghormatan orang awam kepada Karpal 8.30 pagi esok

HARAKAHDAILY 


GEORGE TOWN: Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh di Dewan Seri Pinang di sini esok dinasihatkan datang awal.
(Foto: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh.)
    
Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang mengetuai jawatankuasa pengebumian negeri bagi Karpal, berkata mereka boleh berbuat demikian dari 8.30 hingga 10.15 pagi.
  
"Kami anjakkan sedikit waktu daripada 9 pagi yang diputuskan semalam kepada 8.30 pagi agar orang awam mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas memantau persiapan Majlis Penghormatan Negeri kepada mendiang Karpal Singh, di Dewan Seri Pinang di sni, hari ini.
  
Beliau berkata dianggar 2,000 hingga 3,000 orang akan menghadiri upacara itu.
  
Karpal Singh, 74, maut dalam nahas jalan raya di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Kampar pada awal pagi Khamis.
  
Kemalangan 1.10 pagi itu turut meragut nyawa pembantu peribadinya Michael Cornelius, 39.
  
Chow turut meminta badan bukan kerajaan, persatuan, badan keagamaan dan parti politik yang ingin memberi penghormatan terakhir agar mendaftar terlebih dahulu antara pukul 8.30 dan 9.30 pagi.
  
Sesi untuk mereka akan bermula 10.15 pagi, katanya.
  
Beliau juga berkata 1,000 penunggang basikal akan turut menyertai perarakan jasad mendiang esok.
  
Semalam, Chow mengumumkan perarakan jasad mendiang akan melakukan tiga 'persinggahan bermakna' dalam perjalanan dari Dewan Sri Pinang ke Krematorium Batu Gantung.
  
Persinggahan itu ialah di Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (tempat Karpal Singh bertugas sebagai peguam), Dewan Bangunan Undangan Negeri Pulau Pinang (lokasi kerjaya politik beliau) dan sekolah lama  Karpal St Xavier's Institution.
  
Perarakan dijadualkan bermula pukul 11.30 pagi dan akan tiba di krematorium pada 1 tengah hari. - Bernama

Tiada ulasan: