Isnin, 21 April 2014

PAS: Menara Warisan rugikan pasaran harta tanah

MALAYSIAKINI


 


Pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 118 tingkat di Kuala Lumpur tidak diperlukan kerana ia hanya menyumbang ke arah lebihan penawaran harta tanah di Lembah Klang, kata Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Ketua Pemudanya Khairil Nizam Khiruddin berkata, menara itu yang dikatakan turut menempatkan kondominium mewah itu tidak diperlukan dalam keadaan lebihan penawaran harta tanah setempat.

"Maka kami menolak projek pembinaan ini yang dijangka tiada keperluan serta tidak memberikan limpahan ekonomi khususnya kelompok ini.

"Malah berdasarkan satu laporan kajian pihak swasta hartanah, kawasan Lembah Klang menghadapi lebihan penawaran," katanya.

Khairil Nizam berkata, laporan itu menjelaskan segmen kediaman kondominium mewah merekodkan lebihan paling tinggi sekitar 32 peratus daripada 27,000 unit yang ditawarkan.

Tambahnya, ia tidak termasuk jangkaan lebih kurang 5,204 unit baru pada tahun ini.

"(Oleh itu) masih ada ruang-ruang untuk dipenuhi. Pemuda PAS Wilayah mahu slot-slot (yang kosong) diisi sebelum pembinaan menara itu," katanya.

'Terkejar-kejar nak bangunan tinggi'

Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Khairil Nizam juga membangkitkan dakwaan-dakwaan lain berkaitan pembinaan menara itu, antaranya:

  1. Membazirkan berbilion ringgit wang rakyat, pemborosan dan tidak relevan tatkala rakyat berdepan masalah ekonomi, inflasi dan ketidakmapanan pendapatan boleh guna isi rumah.
     
  2. Isu lalu lintas di kawasan pembinaan apabila jalan berdekatan seperti Jalan Hang Tuah, Jalan Maharajalela dan Jalan Stadium di kawasan 'segitiga emas' sentiasa sesak.
     
  3. Isu hakisan sejarah negara kerana Taman Merdeka Negara dimasukkan ke dalam zon penampan kepada stadium merdeka dan stadium negara.
Khairil Nizam berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum dan mahu berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan membina menara itu.

Selain kondominium mewah, menara itu dikatakan akan turut memuatkan kompleks perniagaan dan hotel.

Memorandum menentang pembinaan menara itu, kata Khairil Nizam, akan diserahkan pada 24 April kepada Pengerusi PNB Tan Sri Hamad Kama Piah.

"Kenapa nak terkejar-kejar untuk bina bangunan ketiga tertinggi di dunia. Oleh sebab itu mungkin, mereka ada rasional (akan diberikan kepada kami kelak).

“Kami akan minta maklum balas dan akan maklumkan kepada media," kata Khairil Nizam lagi.

Tiada ulasan: