Papa Gomo


KUALA LUMPUR - Blogger kontroversi, Papagomo bakal berdepan dengan tindakan mahkamah atas penafian bahawa dirinya sebelum ini pernah menaiki kapal selam Scorpene pada 9 Disember 2011.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris sebelum ini menafikan bahawa beliau telah menaiki kapal selam Scorpene tersebut dan dia boleh disaman kerana memberi keterangan palsu.

"Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulisnya di Parlimen semalam telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Wan Deris berada di atas kapal selam Scorpone pada 9 Disember lalu.

"Pengesahan ini mempunyai beberapa implikasi undang-undang terhadap Wan Muhammad Wan Deris.

"Semasa memberi keterangan di dalam kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris telah menyatakan bahawa dia tidak pernah berada di dalam kapal selam Scorpene.

"Namun jawapan Menteri Pertahanan telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris telah berbohong kepada mahkamah.

"Ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memberi keterangan palsu kepada mahkamah.

"Oleh itu, saya dan Surendran akan membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri Wan pada hari Selasa 8 April ini.

"Saya juga akan menfailkan saman terhadapnya atas fitnah di blognya yang mendakwa saya dipecat daripada Petronas kerana pecah amanah," katanya di Lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Wan Muhammad Azri Wan Deris sebelum ini berkali-kali telah menafikan bahawa dirinya adalah Papagomo.