Rabu, 2 April 2014

Pakatan desak Najib mengaku salah berhubung kenyataan MH370

OLEH DIYANA IBRAHIM


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar dari bilik sidang media ketika mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi. Gambar fail The Malaysian Insider.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar dari bilik sidang media ketika mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi. Gambar fail The Malaysian Insider.



























Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau melakukan kesilapan dalam kenyataannya mengumumkan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi pada 24 Mac lalu.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang daripada DAP berkata, Najib memberikan kenyataan mengelirukan dan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan pesawat itu berakhir.

Katanya, adalah jelas kenyataan Najib bermaksud pesawat malang itu terhempas apabila sehari selepas pengumuman itu, di Parlimen beliau membentangkan usul simpati MH370 kerana tiada satu pun penumpang terselamat daripada insiden itu.

"Kenyataan itu diperkukuhkan dengan kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar MAS menyatakan tiada penumpang terselamat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar daripada PAS juga mempersoalkan adakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap media tempatan yang turut menyiarkan kenyataan daripada Najib seolah-olah pesawat MH370 terhempas.

"Mereka kena jelaskan kerana kita sekarang keliru apa maksud dengan penerbangan berakhir, adakah ia terhempas atau apa?

"Saya ingin bertanya adakah Najib atau (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein sanggup mengambil tindakan terhadap media tempatan yang menulis seolah-olah MH370 terhempas, saya memetik pada laporan Harian Metro, tajuk akhbar itu 'Pusara di Lautan Hindi',  jadi beranikah mereka mengambil tindakan," katanya.

Selain itu, Mahfuz juga menggesa kerajaan untuk mendedahkan bilakah kerajaan menghubungi Rolls-Royce dan Boeing bagi mendapatkan maklumat siasatan berhubung MH370.

Beliau berkata demikian mengulas temuramah Hishammuddin bersama stesen televisyen China (CCTV) pada Isnin yang menyelar dua syarikat tersebut kerana berdiam diri mengenai tragedi kehilangan pesawat MH370.

"Kita minta mereka jelaskan maklumat tertentu itu dan perkhidmatan pembekal mana yang mereka maksudkan dan bilakah kerajaan menghubungi Boeing dan Rolls-Royce untuk mendapatkan maklumat penyiasatan," katanya.

Beliau juga menggesa agar taklimat ahli Parlimen pembangkang MH370 perlu disegerakan memandangkan kenyataan kerajaan mengenai siasatan MH370 yang semakin mengelirukan.

Sementara itu, Lim juga memberitahu bahawa taklimat bersama ahli Parlimen PR akan diadakan semula pada Selasa depan sepertima dimaklumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kepadanya.

Ditanya mengenai notis yang tidak diberikan oleh PR ketika kali pertama meminta menteri itu menguruskan taklimat MH370 bersama pemangku Menteri Pengangkutan (Hishammuddin), beliau berkata perbuatan itu sia-sia.

"Bagaimana kita hendak hantar notis kerana kita sudah tahu awal bahawa Hishammuddin tidak akan berada di taklimat tersebut kerana sudah bertolak ke Hawaii dalam lawatan kerjanya, jadi apa guna notis itu," katanya.

"Bagaimanapun Menteri, Shahidan bersetuju pada kita bahawa minggu depan Hishammuddin akan menghadiri taklimat sepertimana yang kita tuntut," katanya.

Kenyataan Najib pada 24 Mac lalu yang menyatakan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi di mana tidak seorang penumpang pun selamat menimbulkan kemarahan waris keluarga penumpang MH370 daripada China.

Tiada ulasan: