Jumaat, 4 April 2014

Pakatan berhimpun 1 Mei bantah GST, TPPA di Dataran Merdeka

OLEH MD IZWAN


Pakatan Rakyat akan mengadakan perhimpunan membantah GST dan TPPA pada 1 Mei. Gambar fail.Pakatan Rakyat akan mengadakan perhimpunan membantah GST dan TPPA pada 1 Mei. Gambar fail.



























Pakatan Rakyat (PR) akan mengerakkan semua penyokong bagi menghadiri satu perhimpunan besar-besaran pada 1 Mei depan bagi menyuarakan bantahan ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata himpunan tersebut diadakan bagi membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan isu kenaikan harga barang.

"Pakatan Rakyat menyokong dan akan turut serta dalam himpunan pada 1 Mei, iaitu untuk membantah GST, TPPA dan isu kenaikan harga barang," kata Mohamad pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Mohamad berkata, semua ahli dan penyokong Pakatan akan dikerahkan bagi menghadiri perhimpunan yang jatuh sempena sambutan Hari Pekerja.

"Pakatan akan mengerahkan ahli dan penyokong untuk bersama dalam himpunan tersebut di Kuala Lumpu," katanya.

Himpunan tersebut akan bermula pada jam 2 petang hingga 5 petang, serta akan disertai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mohamad berkata, seperti kebiasaan himpunan sebelum ini, lokasi himpunan akan bermula di beberapa lokasi antaranya Masjid Negara, Sogo, Dataran Maybank dan Brickfield.

Peserta kemudiaannya akan berarak ke Dataran Merdeka berkumpul beramai-ramai di sana.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang, berkata himpunan tersebut sebagai peringatan kepada kerajaan tentang bebanan dan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.

"Kerajaan tidak menyediakan persiapan konkrit kepada rakyat untuk menghadapi bebanan.

"Himpunan ini satu peringatan untuk kerajaan bekerja dengan baik," kata Chua.

Chua berkata, dalam keadaan sekarang inflasi meningkat kepada 3.5%, pelaksanaan GST bakal memberi beban baru kepada rakyat khususnya golongan pertengahan dan bawahan.

Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata himpunan kali ini penting bagi memberikan isyarat kepada kerajaan terhadap kesengsaraan yang dihadapi rakyat ketika ini.

"Himpunan ini penting," katanya.

Himpunan ini bakal menjadi yang pertama untuk tahun ini, selepas beberapa siri himpunan besar-besaran sebelum ini selepas berakhir Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

Tiada ulasan: