MH370


PERTH - Biro Keselamatan Kenderaan Australia (ATSB) yakin bahawa objek tidak dikenal pasti yang hanyut ke darat di Augusta, pantai barat daya Australia Barat, bukan daripada MH370 yang hilang.
  
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pada Khamis berkata, ATSB, selepas meneliti gambar-gambar bahan itu secara terperinci, berpuas hati bahawa ia bukan petunjuk yang boleh dikaitkan dengan pencarian pesawat malang itu.
  
JACC yang mengendalikan operasi mencari itu berkata demikian dalam kenyataan di sini.
  
Jurucakap ATSB, Martin Dolan, dalam temu bual dengan CNN pada Rabu berkata bahan itu merupakan kepingan logam dengan cantuman rivet.
  
"Memang cukup menarik bagi kami untuk meneliti gambar-gambar itu...tapi keterujaan itu berkurangan, semakin lama kami melihatnya," katanya.
  
ATSB turut memberikan gambar-gambar itu kepada pasukan penyiasatan Malaysia, menurut JACC dalam kenyataan pada Rabu.