Selasa, 1 April 2014

MP DAP: Jangan cari alasan beli satelit baru

MALAYSIAKINI


 


Dua MP DAP menggesa kerajaan agar tidak menjadikan kehilangan pesawat MH370 sebagai alasan untuk mendapatkan satelit baru untuk meningkatkan keupayaan pertahanan Malaysia.

Steven Sim (Bukit Mertajam) dan Julian Tan (Stampin) berpendapat kerajaan tidak harus bertindak membuta-tuli tanpa mengemukakan laporan mengenai kegagalan satelit RazakSat-1 yang dilancarkan pada 2010.

"Kami menyokong usaha untuk mempertingkatkan keselamatan tetapi RazakSat-1 juga masih tiada laporan tentangnya," kata MP berkenaan dalam satu kenyataan bersama.

"Tanpa sebarang siasatan lanjut mengapa ada kelemahan dalam menangani krisis MH370, maka segala aktiviti membeli aset pertahanan dan peralatan satelit ini adalah membuta tuli, tidak berasas dan hanya membazir wang rakyat semata-mata," tegas mereka.

MP berkenaan merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Dr Noordin Ahmad berhubung rancangan untuk melancarkan satelit baru, RazakSat-2 pada tahun 2016.

Kenyataan Noordin, yang dilaporkan dalam Berita Harian hari ini menyebut, satelit baru itu "dilihat dapat membantu negara merakam imej khususnya untuk tujuan perancangan pembangunan tetapi dapat juga digunakan bagi menghadapi insiden seperti kehilangan pesawat dan bencana".

MP berkenaan juga merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa masanya sudah tiba untuk meningkatkan kekuatan aset ketenteraan selepas mengenalpasi kelemahan dalam menghadapi krisis MH370.

Sim pada September tahun lalu turut mempersoakan pendedahan kerajaan bahawa kos RazakSat-2 bertambah kepada RM271.9 juta, daripada kos asal RM200 juta ketika diumumkan pada 2011.

Tiada ulasan: