MH370


PERTH - AUSTRALIA. Kapal sokongan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bunga Mas 6 (BM6) hari ini menyertai kapal frigat KD Lekiu dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.
 
Ia adalah kapal TLDM kelapan yang menyertai pasukan daripada pelbagai negara untuk mencari pesawat malang itu.
 
Maklumat awal ini disahkan seorang jurucakap Tentera Laut Diraja Australia (RAN) melalui twitter kepada Bernama. Kapal sokongan itu, yang memulakan pelayaran dari pangkalan TLDM Lumut pada 16 April, pada mulanya dijangka tiba di Perth pada Jumaat.
 
Jurucakap itu berkata kapal berkenaan tidak berlabuh atau singgah di HMAS Stirling, pangkalan RAN, tetapi meneruskan pelayaran ke zon pencarian.
 
BM6 diketuai pegawai pemerintahnya Komander J. Kuharaj dan dianggotai 25 anak kapal terdiri daripada petugas Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC), yang diserap ke dalam Pasukan Sukarelawan TLDM.

Seorang pegawai perubatan daripada Tentera Darat Malaysia juga menyertai misi bantuan itu.
 
Komander Sokongan TLDM Naib Laksamana Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli yang menyempurnakan majlis mengucapkan selamat jalan kepada kapal itu memberitahu media bahawa BM6 akan menyertai operasi berkenaan selama tiga bulan.
 
Kata beliau kapal itu juga bersedia menyambung misinya jika diminta berbuat demikian oleh kerajaan.
 
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara laut China selatan.
 
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
 
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalnya.
 
Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, pengumuman dibuat bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama