Khamis, 3 April 2014

Mangsa terbakar seluruh badan berlari minta tolong

Keadaan kedai makan yang musnah dijilat api dalam kejadian malam semalam yang turut memusnahkan empat kereta dan tiga motorsikal.

ASLANI M 


GUA MUSANG: Penyelia Dun Galas, Ustaz Abdullah Husain turut bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa kebakaran di Dataran Kesedar di sini malam tadi.

“Seorang mangsa yang panik akibat terbakar di seluruh tubuh berlari bagi mendapat pertolongan sehingga ke belakang bangunan kedai.

“Kebetulan ketika itu saya berada tidak jauh dari situ dan terus turun dari kereta membantu mangsa dan menghantar mereka ke Hospital Gua Musang.

“Orang ramai juga menghantar mangsa-mangsa lain ke hospital. Dan seorang daripada mereka yang kritikal kemudiannya dihantar ke hospital di Kota Bharu,” katanya di sini.

Pada kejadian tersebut 11 pelanggan yang sedang makan di sebuah kedai tidak jauh dari stesen minyak Shell disambar api selepas dipercayai minyak tumpah dari arah stesen minyak.

Tiga daripada mangsa kritikal. Kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu turut memusnahkan empat kenderaan termasuk milik pekedai dan pelanggan serta tiga motosikal.

Abdullah berkata, beliau difahamkan kejadian itu berlaku ekoran berlaku limpahan minyak dari tangki stesen minyak ketika sebuah lori sedang mengisi minyak.

Katanya, disebabkan kedudukan stesen minyak terbabit di kawasan agak tinggi menyebabkan minyak yang tumpah mengalir ke arah Dataran Kesedar.

“Minyak tersebut tiba-tiba menyambar sebuah gerai burger kemudian berjangkit kepada kenderaan dan motosikal yang terletak berdekatan.

“Keadaan itu menyebabkan api marak sehingga menjulang tinggi yang boleh dilihat dari jauh. Kejadian berlaku hanya dalam beberapa minit sebelum dapat dikawal sepenuhnya pasukan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Menurutnya juga beliau berada di Hospital Gua Musang sehingga jam 1 pagi bagi membantu mangsa dan keluarga mereka.

Sementara di Kota Bharu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob merakamkan ucapan takziah kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

“Saya berkongsi rasa sedih di atas insiden tersebut dan Insya-Allah saya akan usahakan untuk melawat mereka terlibat dan menghulurkan bantuan.

“Buat masa sekarang saya dalam perjalanan ke Johor bagi mengikuti satu program di sana,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau juga berharap kejadian seperti itu tidak berulang dan semua pihak berhati-hati menguruskan bahan-bahan yang mudah terbakar.

Katanya, sebarang kecuaian akan mendatangkan akibat yang tidak diduga.


Kedai makan di Dataran Kesedar yang marak dijilat api akibat tumpahan minyak dari stesyen minyak berhampiran.

Tiada ulasan: