Rabu, 9 April 2014

Kerajaan negeri perlu tunggu siasat penuh sebelum jumpa peguam negara

Post Pic
Oleh Nur Shakira Buang
SHAH ALAM: Exco agama kerajaan Selangor, Sallehin Mukhyi berkata, kerajaan negeri perlu menunggu siasatan sepenuhnya daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu rampasan bible bahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor terlebih dahulu sebelum bertindak menulis surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail.
 
"Siasatan belum selesai sepenuhnya. Kalau dah selesai saya fikir baru menteri besar boleh jumpa peguam negara untuk bincang bagaimana hendak pulangkan Bible.
 
"Kalau dah serah kepada KDN, KDN kena buat penjelasan sama ada ia melanggar akta cetak atau tidak. Kalau dah selesai, peguam negara akan memberikan jawapan yang muktamad dan pada ketika itu isu kemelut akan diselesaikan," katanya ketika ditemui pemberita.
 
Mengulas lanjut berhubung cadangan DAP yang mahu menteri besar sendiri berjumpa dengan peguam negara, Sallehin berkata ia hanyalah cadangan semata-mata.
 
Malah, katanya meskipun kerajaan negeri bersedia untuk berbuat demikian namun belum tentu peguam negara akan memulangkan bible tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia itu.
 
"Cadangan DAP hanya cadangan.
 
"Belum tentu Peguam Negara terima surat itu dan Persatuan Bible boleh membuat permohonan. Peguam Negara belum tentu akan terima dan akan pulangkan bible semata-mata berdasarkan surat itu.
 
Semalam, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil langkah proaktif dengan bertemu peguam negara untuk menyelesaikan isu rampasan Bible berbahasa Melayu.
 
Gobind berkata, dengan cara itu, Abdul Khalid akan memperoleh keyakinan pelbagai pihak berbanding tindakan sekarang yang dilihat seperti lepas tangan dalam isu itu.
 
Gobind menjelaskan meskipun Khalid sebelum ini berkata isu rampasan Bible itu adalah di bawah seliaan pejabat Peguam Negara, ia hanya masuk akal apabila Khalid bertemu Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyelesaikan isu itu.
 
Awal tahun ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara.
 
Kesemua 300 Bible berkenaan masih belum dipulangkan kepada PBM.

Tiada ulasan: