SEMPORNA - Kerajaan Persekutuan akan menambah kekuatan aset
kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) hujung bulan ini,
bagi mempertingkatkan serta memantapkan lagi kawalan keselamatan di
kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata
aset yang ditambah itu termasuklah kemudahan bot laju dan penambahan
anggota keselamatan.
"Ia juga secara tidak langsung memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam
memastikan Esscom terus meningkatkan tahap kawalan khususnya di kawasan
pantai timur Sabah. Kita tidak mahu sebarang kejadian jenayah rentas
sempadan seperti penculikan dan penyeludupan berlaku lagi," katanya
ketika membuat lawatan kerja di Singamata Adventures and Reef Resort di
sini, hari ini.
Beliau berkata kawalan keselamatan di semua pulau peranginan termasuk
resort yang ada di sekitar Semporna telah dipertingkatkan bagi menjamin
keselamatan pelancong.
"Anggota keselamatan berada di tempat berkenaan 24 jam sehari dan
terdapat juga angota yang melakukan rondaan di kawasan perairan setiap
masa mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Shahidan berkata Pihak Berkuasa Tempatan perlu meminta
ulasan keselamatan daripada Esscom sekiranya ingin membina sebarang
struktur baharu seperti resort di kawasan Esszone.
Beliau berkata perkara itu perlu dilakukan bagi memudahkan perancangan
keselamatan oleh Esscom dalam usaha memantapkan lagi kawalan keselamatan
di pantai timur Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan