Ahad, 13 April 2014

Kawasan pencarian visual MH370 lebih luas hari ini



 THE MALAYSIAN INSIDER


Meskipun tiada sebarang isyarat akustik dikesan dalam tempoh 48 jam lepas, misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di Lautan Hindi diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian lebih luas.

Memasuki hari ke-37, Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC) berkata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia merancang melakukan pencarian visual membabitkan kawasan seluas kira-kira 57,506km persegi berbanding 41,393km persegi pada semalam.

Aset digunakan dalam operasi pencarian hari ini turut diperhebat dengan tambahan dua pesawat tentera berbanding sembilan pesawat semalam.

"Sejumlah 11 pesawat tentera, sebuah pesawat awam dan 14 kapal akan membantu usaha mencari hari ini," menurut JACC dalam kenyataan pada hari ini dan menurutnya, misi pencarian bertumpu di kawasan kira-kira 2,200km barat laut Perth.

Dalam usaha untuk mengecilkan misi pencarian di dasar laut sebelum Kenderaan Dalam Air Automatik digunakan, JACC berkata Kapal Pertahanan Australia Ocean Shield menerusi alat Pengesan Pinger Ditunda akan cuba mengesan lokasi isyarat kotak hitam pesawat itu.

Tatkala pesawat AP-3C Orion meneruskan tinjauan akustik, kapal oseanografi HMS Echo dan Ocean Shield turut melakukan operasi pencarian di kawasan berkenaan, menurut JACC.

"Keadaan cuaca hari ini diramalkan berlaku tiupan angin barat laut dengan hujan sekejap-sekejap, ombak setinggi satu meter dalam jarak penghilatan 5km dalam keadaan hujan," menurut kenyataan itu.

Rabu lepas, Ketua Penyelaras JACC Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata Kenderaan Dalam Air Automatik akan dikerahkan sebaik sahaja tiada isyarat dikesan.

Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.

Kotak hitam pesawat itu yang merekodkan rakaman data penerbangan dan rakaman suara dalam kokpit, mungkin dapat memberi jawapan kepada persaolan tentang apa yang berlaku kepada MH370 yang melencong beribu-ribu kilometer daripada laluan biasa Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama. – Bernama

Tiada ulasan: