Ahad, 6 April 2014

Kapal Ocean Shield kesan isyarat semasa pencarian MH370

THE MALAYSIAN INSIDER


Kapal HMS Echo dalam perjalanan ke lokasi Haixun 01 manakala Ocean Shield sedang menyiasat isyarat itu menggunakan peralatan bawah permukaan air. - Gambar Reuters.Kapal HMS Echo dalam perjalanan ke lokasi Haixun 01 manakala Ocean Shield sedang menyiasat isyarat itu menggunakan peralatan bawah permukaan air. - Gambar Reuters. 


Kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan satu isyarat ketika menyertai operasi mencari penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi pada Ahad.

Perkembangan terbaharu ini menyusuli dua denyut pendek yang juga dikenali sebagai isyarat akustik yang dikesan 36 jam lalu dan pada petang Sabtu oleh kapal China, Haixun 01.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata setakat ini belum dapat diputuskan sama ada untuk mengesahkan atau menolak petunjuk itu memandangkan siasatan masih berjalan.

"Kapal HMS Echo dalam perjalanan ke lokasi Haixun 01 manakala Ocean Shield sedang menyiasat isyarat itu menggunakan peralatan bawah permukaan air," katanya dalam sidang media di Perth hari ini.   

Katanya jarak antara Haixun 01 dan Ocean Shield ialah kira-kira 300 batu nautika.

Houston menyifatkan Ocean Shield sebagai kapal terbaik untuk tugas itu memandangkan aset tersebut dilengkapi 'towed pinger' (alat pengesan isyarat yang ditunda) dan kenderaan bawah permukaan air kawalan jauh.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pengesahan isyarat itu boleh mengambil masa beberapa hari selain pencarian yang sukar kerana kedalaman di kawasan berkenaan ialah kira-kira 4.5 km di samping pelbagai cabaran lain.

Penerbangan MH370 ke Beijing itu yang membawa 239 orang hilang tanpa jejak ketika di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lalu.

Analisis data satelit kemudian menunjukkan pesawat mengubah haluan jauh daripada laluan asal dan penerbangan berakhir di selatan Lautan Hindi. – Bernama

Tiada ulasan: