Sabtu, 5 April 2014

Kabinet arah ESSCOM tingkat kesiapsiagaan

MALAYSIAKINI


 


Kabinet mengarahkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) meningkatkan tahap kesiapsiagaan, pengawasan dan perisikan ekoran masih berlaku kejadian jenayah di perairan Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memandang serius berulangnya kejadian jenayah dengan terbaru insiden penculikan dua wanita termasuk seorang warga China di sebuah resort di Pulau Singgahmata, Semporna, Rabu lepas.
  
"Kita pandang berat tentang isu yang telah berulang kali berlaku apa lagi selepas Esscom ditubuhkan, ia masih terus berlaku.
  
"Kita sedar kawasan ini bukan mudah untuk dikawal kerana pantainya luas dan berhampiran pulau-pulau di bawah jagaan Filipina," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti Ledang di Ledang hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian penculikan di Sabah walaupun dengan kewujudan Esscom.
  
Muhyiddin berkata Esscom akan dipanggil memberikan taklimat khusus pada mesyuarat Kabinet akan datang berhubung keupayaannya menghadapi ancaman jenayah.
  
"Mesyuarat jemaah menteri semalam memutuskan kita teliti struktur perintah yang ada di Esscom kerana di situ ada agensi seperti tentera, polis dan penjawat awam.
  
"Di samping itu apa aset atau alatan ketenteraan seperti bot dan helikopter, ini kita akan teliti, jadi kita panggil Esscom beri taklimat," katanya.
  
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Esscom diminta memberi maklumat kepada masyarakat khususnya pengusaha resort dan pelancong mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil ketika berada di kawasan berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata tindakan mengesan mangsa masih diteruskan pihak berkuasa.
  
Katanya beliau berharap mangsa yang terlibat berada dalam keadaan selamat dan dibebaskan penjenayah.- Bernama

Tiada ulasan: