Isnin, 7 April 2014

JACC: Isyarat mungkin dipancar kotak hitam

MALAYSIAKINI


 


Pasukan penyiasat Australia menyebut, kapal negara itu ADV Ocean Shield kini sedang menentukan kedudukan isyarat denyutan yang dikesan sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston dalam satu laporan Reuters menyebut, kapal berkenaan juga sedang berusaha mengesan semula isyarat tersebut.

Tambahnya, isyarat tersebut mungkin dipancarkan dari kotak hitam pesawat apabila ia dikesan buat kali kedua.

"Ketika itu, dua ping berasingan dapat didengar. Apa yang penting, ia konsisten dengan pancaran dari perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit,” katanya dalam sidang media di Perth, Australia.

Katanya ADV Ocean Shield mengesan isyarat tersebut untuk tempoh dua jam dan 20 minit sebelum terputus hubungan dan kini berusaha berpatah balik untuk membuat pengesanan semula.

Menurutnya, isyarat yang dikesan itu merupakan petuntuk terbaik buat masa ini.

Satu kenderaan bawah air, Bluefin 21 yang berkeupayaan menyelam ke kedalam 4,500 meter, akan ditugaskan untuk membuat siasatan lanjut selepas kedudukannya dikenalpasti, kata Houston.

Tiada ulasan: