Selasa, 8 April 2014

Isu intipan pihak asing terus dipantau

Shahidan Kassim Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR - Kerajaan terus memantau perkembangan isu intipan pihak asing terhadap Malaysia dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika ada bukti kukuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya Malaysia menolak sebarang bentuk pengintipan oleh mana-mana pihak kerana perbuatan itu menjejaskan kedaulatan negara dan hubungan dua hala.

Kerajaan telah bekerjasama dan berbincang bersama agensi-agensi yang terlibat bagi menyusun langkah seperti menghantar nota bantahan kepada pihak yang didakwa mengintip negara ini, katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu laporan aktiviti pengintipan membabitkan beberapa buah negara terhadap Malaysia.

Shahidan berkata pada 2006 kerajaan menggubal Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) bagi melindungi Infrastruktur Sistem Maklumat Kritikal Negara.

"Dasar ini memfokus kepada penggunaan teknologi yang selamat ke arah penggunaan dan pengeluaran teknologi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar," katanya

Shahidan berkata 10 sektor kritikal dikenal pasti oleh NCSP iaitu pertahanan dan keselamatan; perbankan dan kewangan; maklumat dan komunikasi; tenaga; pengangkutan; air; perkhidmatan kesihatan; kerajaan; perkhidmatan kecemasan dan makanan; dan pertanian.

Mengulas pendedahan yang dibuat oleh bekas kakitangan Agensi Perisikan Pusat(CIA) Edward Snowden, Shahidan berkata Amerika Syarikat sedang membuat penyiasatan terhadap semua kegiatan pengintipan dan akan memaklumkan kepada Malaysia dan negara-negara terlibat mengenai hasil kajian itu.

Tahun lepas, media asing melaporkan mengenai pendedahan Snowden bahawarisikan dibuat ke atas Malaysia oleh kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan Internet. - Bernama

Tiada ulasan: