Isnin, 7 April 2014

DUN Selangor tolak bahas isu 'Allah'

MALAYSIAKINI



 


Pembangkang Dewan Negeri Negeri (DUN) Selangor kecewa apabila tiga dari empat usul untuk dibahas telah ditolak speaker dewan.

Ketua Pembangkang Datuk Shamsuddin Lias (Umno-Sg Burong) berkata, antara usul yang ditolak ialah isu kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kalimah Allah yang menjadi polemik di seluruh negara.

"Memang saya kecewa kerana ia perlu didedah.

"Isu ini timbul kerana ia keutamaan rakyat dan ia juga telah menjadi polemik dalam media," kata beliau ketika ditemui di lobi DUN di Shah Alam hari ini.

Larangan kalimah Allah disokong penuh oleh Umno Selangor yang membuat himpunan membantah tindakan pengarang The Herald, Lawrence Andrew menggunakan kalimah itu dalam penerbitannya.

Sementara itu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan rampasan lebih 300 kitab berbahasa Melayu dan Iban Januari lalu mendapat bantahan dari ADUN Pakatan Rakyat.

Mereka berpendapat JAIS tiada kuasa sedemikian.

Sumber kerajaan negeri memaklumkan kedua-dua usul debat itu ditolak kerana ia masih dalam perbicaraan mahkamah.

Shamsuddin memaklumkan, usul lain ditolak berkaitan isu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana telah didengar oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan belum diputuskan hasilnya.

"Hanya satu daripada empat usul berkenaan diterima iaitu penentangan tindakan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango)," katanya.

'Kajang tanpa makna'


Sementara itu, Shamsuddin turut mengulas keputusan pilihan raya kecil Kajang yang menurutnya tidak membawa sebarang makna dan perubahan dalam DUN Selangor.

"Cubaan menjatuhkan menteri besar dan mencetuskan pergolakan, sedangkan pilihan raya itu cuma menggantikan ADUN sahaja, jelas membazirkan wang rakyat.

"Sewajarnya pimpinan negeri terus memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: