Selasa, 15 April 2014

Demi rakyat saya rela gaji dipotong, kata MB

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak kisah dipotong separuh dari gaji barunya kerana ia demi kepentingan rakyat.





Bercakap kepada pemberita selepas persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, Abdul Khalid menjelaskan beliau secara rela hati bersetuju dengan langkah pemotongan itu walaupun tidak sempat menikmati kenaikan baru itu.

“Kita setuju dengan pemotongan sebab hendak tunjuk kepada rakyat bahawa kita juga sanggup potong gaji demi kepentingan rakyat,” katanya dipetik Selangorkini.

Sewaktu bacaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan Tambahan, Abdul Khalid mengumumkan sebahagian gaji dan kenaikan elaun Menteri Besar, anggota Exco, Speaker dan Timbalan Speaker dipotong dan disumbangkan ke Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Sebelum ini, persidangan DNS meluluskan kenaikan gaji dan elaun kesemua 56 Adun Speaker dan Timbalan Speaker dengan Menteri Besar menerima kenaikan 51.54 peratus menjadikan jumlah gaji baru beliau  RM29,250.

Bagaimanapun, dengan pemotongan yang mula dibuat Januari lepas, Menteri Besar sekadar menerima gaji RM14,175.15, iaitu pada kadar gaji lama.

Jumlah itu adalah lebih rendah berbanding gaji anggota Exco dan Speaker yang menerima RM15,000 selepas pemotongan.

Pemotongan gaji bagaimanapun tidak melibatkan gaji Adun yang tetap menerima bayaran penuh gaji baru RM11,250 selepas dinaikkan daripada gaji lama RM6,000.

Tiada ulasan: