Sabtu, 19 April 2014

DBKL Tidak Benarkan Perhimpunan Di Dataran Merdeka

alt

Syafiq Yaacob 


BUKIT JALIL - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  tidak akan membenarkan penganjuran Himpunan Bantah GST di Dataran Merdeka yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, walaupun kerajaan membenarkan rakyat di negara ini untuk meluahkan rasa tidak puas hati menerusi perhimpunan aman namun penganjur harus mengikut prosedur selain akur dengan tempat yang ditentukan oleh pihak berkuasa untuk mereka berhimpun.

"Saya telah beritahu Datuk Bandar Kuala Lumpur kita tidak akan benarkan mereka gunakan Dataran Merdeka, memang kerajaan benarkan mereka menyuarakan perasaan tidak puas hati tetapi mereka perlu akur dengan tempat yang dibenarkan oleh pihak berkuasa selain mereka perlu memohon permit untuk berhimpun.

"Saya telah diberitahu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa mereka belum memohon sebarang permit dan sekiranya mereka memohon untuk adakan di Dataran Merdeka kita tidak akan bagi tetapi kita akan benarkan jika mereka ingin buat di Padang Merbok," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada penghuni baru PPR Pinggiran Bukit Jalil di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Adnan menjelaskan, penganjur himpunan ini yang terdiri dari pihak pembangkang sepatutnya memahami prosedur untuk melakukan sesuatu memandangkan mereka juga terdiri daripada peguam.

Katanya, perhimpunan seumpama ini tidak mendatangkan sebarang faedah dan penganjur hanya mengikut arahan perancang utama mereka di luar negara yang ingin melihat negara ini porak peranda.

"Ini kerja gila, pembangkang ni sebenarnya tidak ada kerja, mereka hanya tahu buat fitnah dan mereka terpaksa buat himpunan-himpunan seperti ini.

"Mereka hendak kata saya tuduh mereka saya tidak kisah, tetapi pada saya mereka ini hanya boneka yang terpaksa mengikut arahan ketua mereka di dari luar negara," ujarnya.

Pakatan Rakyat telah menyatakan sokongan terhadap badan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan Himpunan Membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini bahkan akan turut serta dalam himpunan itu.

Menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Pakatan Rakyat akan menggerakan seluruh ahli dan penyokongnya untuk menyatakan bantahan tindakan kerajaan yang terus membebankan rakyat dengan kenaikan kos hidup melalui GST.

Tiada ulasan: