MALAYSIAKINI
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keras mengutuk tindakan
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menggunakan Perlembagaan
Persekutuan dan Akta Imigresen atas alasan melindungi hak negeri Sarawak
dengan menghalang pemimpin PKR memasuki Sarawak.
"Hak negeri maksudnya tanah hak adat pribumi (NCR), pengagihan kekayaan
dan harta kepada rakyat dari seluruh komuniti dan hak kepada komunititi
yang termiskin.
"Tetapi dia (Adenan) gunakan alasan ini untuk melindungi pemilik
syarikat balak dan pemimpin politik yang korup jadi dia halang pemimpin
PKR ini ke Sarawak, sebab dia takut pemimpin pembangkang ini akan
beritahu hal ini kepada rakyat Sarawak," kata beliau di hadapan
kira-kira 1,000 hadirin di Bazar Sungai Maong, Kuching semalam.
"Apa jenayah yang (Pengarah strategi PKR dan MP Pandan) Rafizi Ramli,
(MP Batu) Tian Chua dan (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin Nasution dah
buat hingga mereka layak dihalang dari masuk ke Sarawak," tanya Anwar.
Anwar berkata, selepas Adenan mengambil alih jawatan itu daripada Tan
Sri Taib Mahmud, beliau sudah pun menyuarakan supaya pemimpin itu dapat
menghapuskan amalam korupsi serta memastikan golongan miskin dibantu
tidak kira latar belakang dan kaum.
Bagaimanapun, tambah Anwar, beliau melihat sehingga kini tiada tanda
atau kenyataan yang memperlihatkan polisi Sarawak berubah ke arah yang
positif.
"Tetapi dalam masa beberapa minggu selepas menjadi ketua menteri, Adenan
mula menghalang orang masuk ke Sarawak. Ini bukan tanda yang baik.
"Dia (Adenan) turut buat satu kenyataan tidak baik kepada saya dan kata
jika saya tak jaga tingkah laku, dia akan halang saya dari masuk ke
Sarawak," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan