Khamis, 10 April 2014

Anwar, Karpal masih ahli parlimen - Speaker

NAZRI ABDULLAH 


KUALA LUMPUR: Status Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) masih kekal sebagai ahli parlimen biarpun disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

"Memandangkan kedua-duanya telah memfailkan rayuan mereka ke mahkamah lebih tinggi, maka sabitan belum dimuktamadkan lagi.

"Oleh demikian status kedua-dua mereka kekal sebagai wakil rakyat," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sambil merujuk kepada Fasal 5, Perkara 48 Perlembagaan.

Penjelasan Pandikar itu dibuat sebagai menjawab pertanyaan yang dikemukakan Karpal pada 31 Mac lalu, berhubung status beliau dan Anwar sebagai wakil rakyat.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

Dengan kata lain, wakil rakyat boleh kehilangan kerusinya jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Pada 11 Mac lalu, Karpal telah disabit bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan didenda RM4,000 di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 Hasutan berkait krisis perlembagaan negeri Perak.

Anwar pula disabit kesalahan dalam kes Fitnah ll dan didenda penjara lima tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun mereka telah mengemukaan rayuan untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Tiada ulasan: