Rabu, 16 April 2014

ADUN Johor cadangkan Johor teladani amalan demokratik Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM : Delegasi lawatan sambil belajar ADUN Johor menyifatkan perjalanan persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) berjalan dalam suasana lebih demokratik berbanding Dewan Negeri Johor (DNJ).

Ketua Pembangkang DNJ, Dr Boo Chen Hau berkata keadaan ini jelas berbeza apabila ADUN pembangkang di Johor tidak pernah diberikan peluang untuk mengemukakan pandangan seperti mana yang dipraktikkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) di negeri ini.

dns“DNS di bawah Pakatan Rakyat (PR) memberikan teladan baik dan mengkagumkan, Yang Berhormat di sini dan seperti mana yang dimaklumkan Puan Speaker, Hannah Yeoh dalam DNS ada sembilan buah jawatankuasa termasuk selain Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) ada pula SELCAT untuk membincangkan seperti isu tanah dan juga kerajaan tempatan.

“Saya akan bawakan cadangan ke DNJ untuk adakan jawatan kuasa pilihan yang dianggotai kedua-dua belah pihak Barisan Nasional dan PR supaya dapat membincangkan pelbagai isu secara mendalam yang akan memberi manfaat kepada rakyat Johor.

“Terima kasih kepada YB Hannah Yeoh kerana sudi menjemput kita,” kata beliau dalam sidang media di Pejabat Speaker DNS di sini hari ini.

Kata beliau lagi, antara isu yang perlu diberikan perhatian termasuk isu Pembangunan Iskandar Malaysia melibatkan pemilikan hartanah warga asing dan penghapusan hutan simpan paya bakau di negeri itu.

ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng pula berkata berbeza dengan DNJ, beliau mendapati ADUN pembangkang di Selangor turut diberikan peluang untuk menganggotai jawatankuasa pilihan dan mengeluarkan usul dan pendapat mereka secara telus.

Hari ini, satu rombongan delegasi ADUN pembangkang Johor mengadakan lawatan sambil belajar bagi melihat perjalanan Persidangan DNS.

Delegasi itu turut disertai ADUN Yong Peng, Chew Peck Choo; ADUN Pengkalan Rinting, Cheo Yee How dan beberapa ADUN lain.EZY

Tiada ulasan: