Khamis, 17 April 2014

ADUN BN kecewa usul COMANGO ditolak dewan

 Bukan meminta menolak secara keseluruhan tetapi menolak terhadap enam perkara
Selangor Dun

SHAH ALAM: Wakil rakyat daripada Barisan Nasional Selangor kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Selangor, apabila usul yang dibawa oleh ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi  (gambar) ditolak.

Usul yang di bawa oleh Budiman itu adalah usul di bawah Peraturan Tetap 26 berkenaan menggesa Kerajaan Negeri mengambil satu pendirian terhadap tindakan Gabungan NGO Malaysia- Coalition of Malaysian NGOs (COMANGO) yang mengemukakan laporan mengandungi unsur-unsur tidak wajar dalam konteks Malaysia atas nama ‘hak-hak asasi manusia’ sewaktu sesi UPR tersebut pada bulan Oktober 2013 di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva, Switzerland.

Menurut Budiman, usul ini adalah usul yang paling mudah iaitu meminta agar Kerajaan Negeri menyatakan pendirian setelah Kerajaan Persekutuan menyatakan pendirian.

“Di dalam COMANGO, telah dinyatakan bahawa kerajaan telah bersetuju sebanyak 149 syor iaitu 113 syor diterima secara penuh, 21 syor diterima secara prinsip, dan 15 syor diterima sebahagian.

“Kita bukan meminta mereka menolak secara keseluruhan tetapi menolak terhadap enam perkara yang bertentangan dengan nilai moral dan perlembagaan,” ujarnya sewaktu ditemui media.

Bahkan, Budiman secara peribadi berasa sangat dukacita terutama rakan-rakan daripada PAS dan PKR yang beragama Islam.

“Sudah jelas di dalam perkara 6.8 dan juga perkara 3 soal perenggan 6.1.2 berkenaan adalah membenarkan lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT) diterima.

“Kita hanya minta pendirian daripada Kerajaan Negeri, sebab Kerajaan Pusat sudah menolak pendirian LGBT ini bahkan saya musykil kenapa mereka menolak isu ini,” katanya.

Antara ADUN-ADUN yang tidak menyokong agar Kerajaan Negeri menyatakan sebarang pendirian adalah ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim, ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin, ADUN Rawang, Gan Pei Nei, ADUN Bangi, Mohd Shafie Ngah,dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Bagi ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim beliau menyatakan Kerajaan Negeri tidak perlu ambil sebarang pendirian tentang mana-mana NGO, walaupun COMANGO.

“Sekiranya ada yang melanggari akta perkahwinan bukan Islam, sudah termaktub hal berkenaan di dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya sewaktu berbahas di dalam dewan.

Dalam pada masa yang sama, Teng menyifatkan bahawa ADUN Sungai Panjang telah menyalahgunakan Dewan Negeri Selangor untuk membentangkan usul ini.

Manakala bagi ADUN Bangi, Mohd Shafie Ngah beliau melihat usul ini sudah dibawa beberapa kali, dan sampai bila hendak dibawa.

“Untuk membuat satu ketetapan yang bukan dalam bidang kuasa dewan, tetapi Kerajaan Pusat.
“Di dewan ini kita hanya kuat kuasakan undang-undang negeri sahaja.” ujarnya.

Dalam pada masa yang sama, ADUN Bangi tersebut juga telah membangkitkan perkara yang berlaku pada tahun 1998.

“Siapa yang memalukan dan mengaibkan orang dari tahun 1998 sehingga hari ini?” soalnya.

Tiada ulasan: