Isnin, 14 April 2014

Abbott: Masih banyak rintangan operasi cari MH370

MALAYSIAKINI



 


Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata masih banyak rintangan yang perlu dihadapi dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.

Akhbar Australia The Independent melaporkan amarannya itu Isnin, enam hari selepas kapal ADV Ocean Shield mengesan isyarat bunyi terakhir di kawasan operasi di Lautan Hindi.

Pada hari Jumaat lalu, beliau menyatakan keyakinan berhubung lokasi kotak hitam pesawat berkenaan, namun kini memberi amaran bahawa usaha tersebut perlu menempuh banyak halangan.

“Masih banyak perkara yang perlu dilakukan dan saya tidak mahu sesiapa fikir bahawa kami yakin akan berjaya, dan jika ia berlaku, ia akan berlaku dalam minggu depan atau dalam masa sebulan.

"Masih ada banyak halangan dan perkara yang tidak pasti,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

ADV Ocean Shield pada 5 April lalu mengesan dua isyarat yang konsisten dengan isyarat kotak hitam – perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit – dan mengesan dua lagi isyarat pada 8 April.

Bagaimanapun, bateri untuk membekal kuasa bagi memancar isyarat kotak hitam berkenaan kini dibimbangi telahpun kehabisan kuasa.

Operasi kini diteruskan dengan proses memeta permukaan dasar laut dengan gelombang bunyi menggunakan kenderaan bawah laut.

Tiada ulasan: