Ahad, 9 Disember 2012

Separuh akhir Piala AFF: Tiket berbaki 35,000

SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI

Logo Piala AFF
.
HARI terakhir jualan tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2012 antara Malaysia dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini masih berbaki 35,000.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram berkata, sebanyak 50,000 daripada 85,000 tiket sudah dijual.

"Saya nasihatkan orang ramai cepat dapatkan tiket sebab perlawanan mula awal jam 8 malam bukan 8.45 malam," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 15,000 tiket yang diperuntukkan di Stadium Shah Alam telah habis dijual semalam manakala hari ini, tiket hanya dijual di Bukit Jalil.

"Saya menjangka tiket akan habis dijual sekitar jam 6 petang ini, jadi bagi yang ingin menonton di stadium harus datang awal," katanya.

Sivasundaram menambah, bagi penyokong Malaysia beliau menyeru agar mereka masuk melalui pintu Merah, Hijau, Kuning dan Ungu manakala pintu Biru untuk penyokong Thailand.

"Saya harap semua penyokong tidak membawa benda-benda yang dilarang oleh pihak AFF seperti laser, mercun dan lain-lain bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Saya minta semua datang ke stadium awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan saya harap semua akan berjalan lancar," katanya lagi.

Harga tiket perlawanan separuh akhir berharga RM40 untuk dewasa manakala kanak-kanak pula RM10.

Tiada ulasan: