Ahad, 2 Disember 2012

Saifuddin Abdullah respons soalan cepumas kajian Najib

Wartawan Sinar Harian

Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
 
SHAH ALAM - Soalan cepumas Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mendapat respons daripada ahli-ahli Umno, termasuk Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang mengakui beliau telah menjawab 'kajian' Presidennya itu dengan memilih pilihan satu iaitu menyokong parti meskipun tidak menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, ahli-ahli parti harus menyokong senarai calon yang dipilih kepimpinan tertinggi parti.

"Saya lihat Presiden mengulangi soal ketaatan kepada parti. Beliau tahu bahawa kesetiaan ahli dan pemimpin akar umbi tidak diragui sama sekali.

"Tapi saya rasa beliau bimbang dengan setengah pemimpin Umno, terutamanya wakil rakyat kini. Sebab itu beliau luahkan soalan cepumas itu," kata Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Kata beliau, sebagai wakil rakyat, "kita perlu secara peribadi dengan beliau dan secara terbuka umumkan jawapan kita supaya beliau mudah buat pemilihan calon."

Katanya, beliau telah memaklumkan pendiriannya kepada Najib semalam selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno .

"Justeru, masa bersalam dengannya selepas ucapannya, saya jawab padanya, "sir, untuk soalan cepumas itu, jawapan saya ialah nombor satu iaitu sekiranya saya tidak dipilih bertanding, saya akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih oleh 'you' (Datuk Seri)'," katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut memaklumkan responsnya itu menerusi Twitter semalam.

Dalam pada itu, Najib menerusi Twitter malam tadi berkata, "terima kasih kepada semua yang jayakan Perhimpunan Agung Umno 2012. Bawalah semangat yang membara serta berkhidmat kepada rakyat."

Perdana Menteri semalam melontarkan soalan 'cepumas' penuh bermakna bagi menguji tahap kesediaan anggota Umno untuk menyokong parti sekiranya mereka tidak terpilih sebagai calon PRU13.

Menyifatkannya sebagai soalan yang penting dan perlu dibuat kaji selidik, Presiden Umno itu mengajak para pejuang parti untuk memikirkan persoalan itu kerana ia bakal menentukan kalah menang parti pada pilihan raya umum itu.

Lima kemungkinan ditawarkan Najib bagi menjawab soalan cepumas yang sarat dengan mesej itu -- sokong sepenuhnya calon dipilih parti; sokong; tidak bekerja; sabotaj; atau lompat parti.

"Ini survey penting...tanya diri sendiri. Kita tidak akan edar borang dalam dewan ini, jangan bimbang...tetapi saya nak tuan puan sekalian dalam dewan ini, dalam perjalanan balik nanti, dalam kereta nanti, dalam bas ekspres nanti, cuba tepuk dada, tanya selera," katanya disambut tepukan gemuruh anggota perwakilan.

Tiada ulasan: