Sabtu, 8 Disember 2012

PRU13: Pendekatan baru, elak cara perkauman Umno

Harakahdaily,


KLANG: Ketua Penerangan PAS PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru petugas PAS agar tidak mencontohi taktik perkauman yang sering digunakan Umno BN untuk menarik sokongan pengundi.

Katanya, jika kempen penerangan parti membawa isu bersifat kepentingan kaum tertentu, sudah tentu akan wujud isu-isu sensitif yang boleh mengguris hati kaum lain.

Bercakap pada Seminar Antara Budaya Masyarakat Malaysia di sini hari ini, beliau mencadangkan agar PAS menggunakan pendekatan 'usia' berbanding 'kaum'.

Ini kerana, pendekatan melalui peringkat umur lebih memudahkan penerangan dengan isu yang lebih menjurus kepada golongan sasar tersebut.

"Contohnya apakah isu penting buat orang muda baru bekerja dan dirikan rumah tangga. Apakah isu penting buat ibubapa yang bekerja dengan beban anak ramai. Apakah isu penting bagi mereka yang tua dan bersara?

“Yang jelas, jawapan untuk soalan di atas merangkumi semua kaum dan telah mengurangkan risiko menyentuh perkara-perkara sensitif antara kaum,” terangnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Peranan penerangan dalam konteks mendekati Melayu dan bukan Melayu dalam PRU”.

Cadangan itu adalah antara pendekatan baru yang dicadangkan beliau untuk menghadapi PRU13.

“Rakyat perlu keluar daripada permainan Umno, perlu keluar daripada kaca mata yang Umno pakaikan pada semua.

"Jika kita melihat pengundi dari sudut lain, akan timbul soalan seperti membasmi kemiskinan seperti yang dicadangkan PAS yang merangkumi semua kaum,” terangnya.

Tiada ulasan: