Ahad, 16 Disember 2012

Prinsip Dewan Himpunan Penyokong Pas tidak ubah

SITI FATIHAH AWANG

KOTA BHARU – Dewan Himpunan Penyokong Pas Pusat (DHPPP) tetap mempertahankan hak dan suara orang bukan Islam kerana ianya merupakan dasar utama penubuhan sayap keempat Pas tersebut.

Ketua DHPPP, Hu Pang Chaw berkata, keadilan untuk orang bukan Islam tetap menjadi salah satu daripada tanggungjawab yang perlu dijaga.

“Tugas utama kami adalah untuk mewakili rakyat bukan Islam negeri ini dan kami bertanggungjawab atas segala perbincangan yang melibatkan isu-isu berkaitan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, isu yang melibatkan remaja bukan Islam baru-baru ini bukanlah sesuatu yang perlu dihebahkan, sebaliknya hanya memerlukan perbincangan dan penjelasan yang jelas daripada pihak yang sepatutnya.

Sebelum ini, dua remaja lelaki Cina disaman Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kerana didakwa berkelakuan tidak senonoh berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini.

Beliau berkata, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan yang mempertahankan tindakan MPKB itu sebagai tidak adil.

“Apa guna wujudnya DHPP jika pihak kerajaan tidak mahu mendengar masalah kami, dan empat sayap utama dalam organisasi Pas juga ditubuhkan untuk keadilan semua rakyat iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan juga Dewan Himpunan Penyokong Pas.

“DHPP merupakan satu-satunya wakil dari masyarakat bukan Islam yang dipertanggungjawabkan untuk membincang, bersuara dan menyelesaikan isu-isu berkaitan orang bukan Islam.

“Sepatutnya Kerajaan Negeri berterima kasih kepada kami kerana kami membawa isu ini untuk mempertahankan keadilan rakyat kita sendiri mengikut dasar-dasar penubuhan DHPP,” katanya.

Phang Chaw berkata, perbincangan ini sangat penting kerana ianya melibatkan kepentingan awam dan bukannya individu tertentu bagi memastikan keadilan dan hak orang bukan Islam terjamin.

“Perbincangan dan penjelasan yang betul diperlukan untuk memastikan semua masyarakat Kelantan terutamanya bukan Islam faham tentang isu ini dan tahu jalan penyelesaian yang diperolehi,” katanya.

Tiada ulasan: