Isnin, 24 Disember 2012

Prinsip DAP tidak akan terima gelaran

GOKINA MORGANAN

Karpal Singh
Karpal Singh
 
GEORGETOWN - Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh menasihatkan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim untuk menarik balik dakwaan kononnya DAP melarang ahlinya menerima gelaran dari Raja-Raja Melayu.

Menyangkal kenyataan Tunku Abdul Aziz, Karpal menegaskan bahawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang berlangsung baru-baru ini, beliau hanya menyatakan pendirian lama partinya, iaitu mana-mana ahli DAP dilarang menerima apa-apa gelaran diberikan.

Bukannya, seperti didakwa Tunku Abdul Aziz tidak boleh terima dari pemimpin Melayu (Raja-raja Melayu).

Karpal berkata, mengikut prinsip yang dipersetujui ahli parti sejak pertengahan 1990-an, Adun dan Ahli Parlimen DAP tidak akan menerima anugerah Datuk semasa dalam tempoh jawatan mereka untuk memastikan ketelusan parti dalam menyampaikan khidmat kepada masyarakat.

Katanya, kenyataan Tunku Abdul Aziz itu sememangnya separuh benar dan dilakukan dengan tujuan dan matlamat burukkan beliau pada pandangan orang Melayu di negara ini.

“Dalam mesyuarat CEC, baru-baru ini, saya sekali menegaskan kepada ahli-ahli yang tidak mengikut prinsip parti, bakal berdepan hukuman yang diputuskan lembaga disiplin parti selepas diminta memberi penjelasan.

“Saya langsung, tidak menyebut perkataan pemimpin Melayu (Raja-raja Melayu),” katanya dalam sidang media, di kedai kopi Air Itam, semalam.

Kelmarin, Tunku Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bertajuk ‘DAP’s triumph of chauvinistic will’.

Difahamkan teguran Karpal itu berikutan tindakan dua pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan Datuk Teng Chang Khim menerima anugerah gelaran daripada pemerintah negeri, bertentangan dengan prinsip parti yang sudah lama dipegang.

Ngeh, yang juga pengerusi DAP Perak, dianugerahkan gelaran pada 2008 manakala Teng yang juga Speaker Dun) Selangor menerima gelaran Datuk pada 2010. Karpal mendakwa kenyataan dikeluarkan itu ditokok tambah Tunku Abdul Aziz.

Beliau yang kesal dengan kenyataan yang tidak berasas itu, berkata Tunku Abdul Aziz cuma memburukkan imejnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

“Kenyataan saya selari dengan polisi parti yang telah lama dipraktikkan,” katanya.

Karpal dalam pada itu menambah, matlamat beliau menegaskan Ahli Parlimen dan Dun dari DAP tidak harus menerima sebarang gelaran sepanjang tempoh jawatan adalah demi memastikan ketelusan parti. Bagaimanapun, Ahli Parlimen atau Adun tamat khidmat dengan parti, tidak dihalang untuk menerima apa-apa gelaran pun.

“Oleh itu, saya minta Tunku Abdul  Aziz berhenti dari terus menyerang DAP dan pemimpinnya,” katanya.

Ketika ditanya, sama ada beliau sendiri pernah menerima tawaran untuk dianugerahkan apa-apa gelaran, beliau tidak mengulas lanjut mengenai pertanyaan itu.

Tiada ulasan: