Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, teknik pengundian itu adalah isyarat simbolik dalam menyiapkan anggota parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Kita mahu menunjukkan bahawa tindakan itu (mengundi menggunakan dakwat kekal) boleh dilakukan di dalam sistem mengundi.
“Ini juga sebagai isyarat simbolik untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Seperti yang diwartakan pada 13 Februari lalu, dakwat kekal akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang iaitu pengundi akan menggunakan dakwat kekal pada jari telunjuk kiri mereka di pusat mengundi kelak,” katanya ketika mengiringi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melawat persiapan kongres di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa), semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kongres Kebangsaan DAP, Teresa Kok, Adun Komtar, Ng Wei Aik dan Setiausaha Publisiti, Tony Pua dan Liew Chin Tong (Bukit Bendera).
Kon Yeow berkata, dengan pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah untuk kongres itu, pihaknya merasakan amat bertuah apabila diberi peluang untuk menganjurkan dan mengambil bahagian dalam program sebesar itu.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah parti (DAP), selama 46 tahun, parti telah memilih Pulau Pinang untuk penganjuran majlis sebesar ini.
“Dijangkakan, kira-kira 2,000 delegasi serta beratus-ratus pemerhati, kakitangan media dan tetamu khas akan hadir,” katanya.
Menurutnya, ramai telah menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan dan ramai telah direkrut untuk memastikan bahawa segala-galanya berjalan lancar semasa program pembukaan iaitu pendaftaran perwakilan pada jam 8 pagi, hari ini dan berakhir pada Ahad, kira-kira jam 1 petang.
“Seramai 2,576 perwakilan dari 730 bahagian telah dijemput untuk mengundi bagi jawatankuasa eksekutif baru pusat, iaitu 66 calon akan bersaing untuk 20 jawatan. Jemputan juga terdiri daripada kira-kira 700 pemerhati dan 50 tetamu istimewa dari Pakatan Rakyat (PR) dan wakil-wakil kedutaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan