Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man turut menyoal kebisuan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak
berkenaan pendedahan oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mendakwa, perhimpunan agung Umno ke-66 menunjukkan parti itu panik dengan kebangkitan rakyat.
“Biasanya perhimpunan agung Umno adalah medan penting kerajaan bagi merangka dasar membela nasib bangsa Melayu dan perancangan masa depan negara, sama ada ekonomi, sosial dan agama.
“Namun, persidangan kali ini diadakan seolah-olah sebagai pra-kempen pilihan raya umum ke 13 (PRU13) dengan menghentam Pakatan Rakyat dan medan Umno berkempen sesama ahli Umno.
“Semua ini jelas menandakan Umno kini berada dalam situasi ketakutan tidak menentu. Gambaran ketakutan ini mencerminkan gelora dalaman Umno bahawa mereka kini berhadapan dengan realiti rakyat yang akan menolak mereka dalam PRU13,” kata Tuan Ibrahim yang adalah Pesuruhjaya PAS Pahang.
Perhimpunan agung Umno yang berlangsung sejak hari Selasa sehingga Sabtu menyaksikan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil “tidak segan-silu mengugut rakyat bahawa peristiwa Mei 13 bakal berulang seandainya Umno ditolak dalam pilihan raya umum akan datang”.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mendakwa beliau sanggup “potong telinga” dan “terjun sungai Pahang” seandainya Pakatan Rakyat berjaya menawan Bentong.
Tuan Ibrahim menambah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Presiden Umno gagal menjelaskan pendedahan yang dibuat oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishen berkenaan bantuan yang diberikannya kepada Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
`Rakyat tunggu respon PM’
“Sesungguhnya, rakyat menanti respon PM dalam ucapan penggulungannya, namun sayang ianya langsung tidak disentuh oleh beliau di perhimpunan agung Umno. Jika peluang diambil untuk membuat penjelasan, sudah tentu ia didengari oleh kebanyakan rakyat kerana ucapannya diberi liputan begitu meluas.
“Membiarkan tuduhan sebesar ini tanpa penjelasan menambahkan keyakinan dan persepsi umum terhadap kebenaran dalam segala yang dinyatakan oleh Deepak,” kata beliau.
Tuan Ibrahim turut menyoal kebisuan Najib berkenaan dakwaan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkenaan campur tangan politik dalam penyiasatan polis dan isu-isu lain.
“Lebih penting lagi, PM juga tidak menggunakan peluang untuk mengisytihar perang terhadap budaya rasuah yang melanda kerajaan pimpinannya.
“Namun bagi Umno, semua ini bukan isu besar ibarat kata sebilangan perwakilan Umno bahawa skandal RM40 juta yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman melibatkan jumlah yang sedikit dan remeh untuk diperjelaskan,” kata beliau lagi.
Tuan Ibrahim menambah bahawa perhimpinan agung Umno membuktikan budaya sabotaj sangat serius di dalam Umno.
“Yang ada di perhimpunan agung Umno hanyalah kebimbangan PM terhadap sabotaj dalaman parti bilamana akan ada yang tidak bersetuju apabila mereka tidak dicalonkan. Kebimbangan PM menampakan bahawa isu cah keting sesama Umno bukan lagi cerita di sebalik tabir, tetapi ugutan secara terang-terangan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan