Sabtu, 1 Disember 2012

Pakatan: Mohon maaf Najib hanya sandiwara politik

Wartawan Sinar Harian

Pakatan: Mohon maaf Najib hanya sandiwara politik

SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) Selangor menyifatkan tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak memohon maaf bagi pihak Umno dan kerajaan atas segala kesalahan dilakukan adalah sandiwara politik semata-mata.

Mereka menyifatkan ia  tindakan terdesak bagi menarik semula sokongan rakyat kepada parti itu dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, tindakan Najib itu dilihat tidak lebih daripada strategi dalam menawan hati rakyat dan cuba untuk membersihkan kembali imej Umno yang tercalar dengan pelbagai skandal.

“Mereka cuba pulihkan kembali imej untuk kaburi mata rakyat. Dia (Umno) macam orang tenggelam yang sanggup menggapai apa saja hatta nak berbaik balik dengan Pas," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali pula menganggap tindakan Najib itu hanya sandiwara politik kerana terdesak dan kegagalan mereka dalam memperlihatkan dasar perjuangan yang jelas.

Katanya, ucapan dasar Najib semasa Perhimpunan Agung Umno ke-66 itu juga tidak menonjolkan bagaimana Umno berperanan untuk mampu memartabatkan orang Melayu dalam soal melibatkan ekonomi, keselamatan dan pendidikan.

“Yang ada masih lagi serangan terhadap PR dan pemimpin yang bersifat fitnah dan peribadi. Memang benar Umno terdesak dan ini bukan soal untuk minta maaf tetapi rakyat mahu perubahan secara keseluruhan,” katanya.

Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim pulaberkata, memohon maaf itu adalah perkara biasa tetapi apa yang lebih penting adalah komitmen dalam menangani isu-isu seperti rasuah dan sebagainya.

“Ini menunjukkan kekuatan PR dan kebangkitan rakyat, dan Najib tahu mungkin ini perhimpunan terakhir Umno dalam menerajui negara dan dia (Najib) tahu tidak ada cara lain dalam menarik sokongan rakyat, jadi terpaksa meminta maaf,” katanya.

Di KOTA BHARU, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan itu seolah-olah pilihan terakhir Umno dan BN setelah menyedari rakyat menolak mereka pada pilihan raya umum lalu.

“Permohonan terlewat, apabila sudah hampir pilihan raya umum, orang semua marahkan Umno, dan dia (Umno) fikir sudah tak ada jalan lain bagi membetulkan keadaan kecuali meminta maaf.

“Bagi kita, permohonan maaf ini satu kenyataan terdesak,” katanya.

Ditanya adakah kemungkinan rakyat akan terpengaruh dengan permohonan maaf secara terbuka itu, Mohd Amar berkata, beliau yakin rakyat mampu menilai dengan bijak setiap kenyataan yang dibuat oleh pemimpin politik.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, Najib perlu mengumumkan penyerahan wang royalti Kelantan jika beliau benar-benar jujur dan ikhlas mohon maaf kepada rakyat khususnya di Kelantan.

Tiada ulasan: