Sabtu, 22 Disember 2012

Nik Aziz masih relevan, perlu tanding PRU

KL TODAY

 

SHAH ALAM – Pas menegaskan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih relevan untuk menjadi salah seorang calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) seperti yang telah diputuskan oleh pihaknya meskipun masalah kesihatan beliau dipersoalkan oleh sesetengah pihak.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali berkata, pendirian Nik Aziz untuk bertanding dalam PRU13 adalah keputusan parti yang masih memerluka beliau untuk bersama memimpin.

Beliau berkata, Nik Aziz dan juga Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih relevan dan Pas mempunyai pertimbangan tersendiri untuk mengekalkan kedua-dua calon tersebut.
“Kita telah putuskan Nik Aziz dan Hadi (Presiden Pas) bertanding pada PRU13 ini.

“Masalah kesihatan sikit itu memang ada dan menjadi perkara biasa.

“Jadi Nik Aziz dan Presiden memang masih relevan, parti mempunyai pertimbangan sendiri mengapa masih mengekalkan mereka,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Semalam mengikut laporan media, Nik Aziz mengulangi pendiriannya untuk tetap bertanding pada PRU13 walaupun keadaan kesihatan dipersoalkan.

Nik Aziz berkata, untuk bertanding pada pilihan raya, ia sama sekali tidak memerlukan seseorang calon itu sihat tubuh badannya tetapi cukup mempunyai pemikiran yang baik.

“Insya-ALLAH…apa sahaja yang Umno tidak suka, itulah yang saya akan buat (bertanding). Bertanding politik bukan perlu tubuh badan sihat tetapi akal yang sihat. Bertanding bukan semestinya untuk bertumbuk. Kalau bertumbuk saya minta maaf,” katanya.

Mengulas lanjut Mustaffa turut mengakui keupayaan berfikir dan otak yang sihat penting untuk politik bukan bergantung sepenuhnya kepada kekuatan fizikal seperti yang dikatakan Nik Aziz.

Beliau berkata, jadi Pas tidak akan mengubah sebarang keputusan yang telah diputuskan walaupun ada desakan atau kritikan daripada parti lain yang mempertikaikan keadaan calon telah dipilih termasuk Nik Aziz.

Tiada ulasan: