Isnin, 17 Disember 2012

Lelaki maut terjatuh dari tingkat empat sekolah

SINAR HARIAN

KUANTAN - Seorang lelaki yang sedang melakukan kerja membaiki atap di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan di sini, maut selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah itu hari ini.

Baharudin Shafie, 49, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut rakan mangsa, Mohd Zulkifli Jaafar, 32, kejadian berlaku ketika hujan lebat pukul 10.45 pagi tadi.

"Kami bertiga sedang melakukan kerja menggantikan atap di atas bumbung bangunan sekolah itu apabila hujan lebat tiba-tiba turun.

"Saya mengambil keputusan untuk turun dan meminta mangsa berlindung di bawah bumbung sementara menunggu hujan berhenti," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya mangsa bagaimanapun tergelincir disebabkan keadaan atap yang licin sebelum terjatuh ke lantai simen di tepi longkang bangunan berkenaan.

"Kami berdua berulang-alik dari rumah di Kemaman ke sini setiap hari kira-kira jam 8.15 pagi bagaimanapun sudah dua hari kerja agak tertangguh akibat hujan.

"Mangsa yang berasal dari Bandar Baru Cheneh, Kemaman masih bujang dan tinggal bersama ibu dan abang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.- Bernama

Tiada ulasan: