Ahad, 16 Disember 2012

Lebih 100 ahli Umno sertai solat hajat p'raya



 
Lebih 100 anggota Umno Bahagian Pasir Puteh mengadakan solat hajat bagi memohon Allah melindungi dan memberi kemenangan kepada calon Umno dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman berkata solat berkenaan yang diadakan malam tadi bukan bertujuan melaknatkan PAS, sebaliknya mendoakan Allah memberi hidayah kepada mereka agar memilih calon Umno yang banyak berjasa kepada agama Islam.

"Ini berbeza ketika PAS mengadakan solat hajat di Kota Baharu bulan lepas di mana mereka mahu Allah melaknatkan Umno seperti melenyapkan firaun," katanya kepada pemberita di Pasir Puteh, hari ini.

Mereka yang menyertai solat berkenaan terdiri daripada imam dan bilal masjid di sekitarnya, pendakwah dan penyelia pembangunan mukim (PPM) terutama yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan di Pasir Puteh.

Solat berkenaan diimamkan oleh Pemangku Imam Masjid Mukim Padang Pak Amat Mohd Nor Jusoh.

Zawawi berkata sudah sampai masanya umat Islam di Kelantan berfikir secara bijak tanpa emosi bahawa PAS banyak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam termasuk mengkafirkan Umno dan bersekongkol dengan DAP yang secara terang menolak negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.

Beliau berkata 22 tahun PAS memerintah Kelantan, tidak banyak perkara yang dilakukan untuk membangunkan negeri ini sama ada dalam bidang rohani dan jasmani.

Katanya banyak janji yang dibuat PAS tidak ditunaikan seperti pembinaan stadium di Bukit Merbau di Pasir Puteh.

Beliau berkata rakyat Kelantan perlu memberi mandat kepada Umno untuk membangunkan negeri ini agar setanding dengan negeri lain.- Bernama

Tiada ulasan: