Sabtu, 8 Disember 2012

"Kami mahu Jenain datang bersemuka dengan ibu’'

 
Menurut Aisyah, mereka sekeluarga sudah memaafkan Jenain dan redha dengan kejadian yang menimpa adiknya, Amirulrasyid.
 


SHAH ALAM: “Kami mahu Jenain datang bersemuka dengan ibu dan cerita mengapa dia tergamak buat begitu,” luah Aisyah Amzah iaitu kakak kepada Aminulrasyid, 15, yang ditembak mati pada kejadian dua tahun lalu.

Aisyah yang turut hadir bersama ibu, Norsiah Mohammad dan kakak sulungnya Norazura Amzah sayu mengenangkan kejadian malang itu lebih-lebih lagi apabila mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa lalu membebaskan Koperal Jenain Subi daripada hukuman penjara lima tahun berhubung kes menembak mati Aminulrasyid.

Menurut Aisyah mereka sekeluarga sudah memaafkan Jenain dan redha dengan kejadian yang menimpa adiknya.

Namun Aisyah menggesa agar Jenain bersemuka dan menemui ibunya untuk memohon maaf ke atas kejadian tersebut.

Bagaimanapun, Norsiah yang ternyata sebak menceritakan kejadian dua tahun lalu itu berkata, sehingga kini Jenain tidak pernah menemuinya untuk membuat sebarang permohonan maaf.

Malah beliau nyata terkilan kerana kematian anaknya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Saya minta siasatan dibuka semula kerana keputusan yang dikeluarkan mengejutkan kami sekeluarga.
Seolah-olah anak saya bersalah 100 peratus. Kesalahan hanya tiada lesen memandu tapi meninggal kerana tembakan.

“Jenain juga tidak pernah datang kepada makcik untuk memohon maaf sehingga kini. Yang makcik tahu permohonan maaf itu dibuat melalui media sahaja.

“Jika penghakiman kata dapat pengurangan kita boleh terima. Tapi tertuduh dilepaskan,” katanya dengan nada terkilan sewaktu sidang media bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pertengahan September lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Tiada ulasan: