Khamis, 20 Disember 2012

Iskandar : Proses Kelulusan RMM Sedia Disiasat


YB Iskandar baju merah 1

SHAH ALAM : Penglibatan banyak jabatan dan agensi kerajaan dalam proses kelulusan projek perumahan Rumah Mampu Milik di Selangor dapat menghalang daripada berlaku penyelewengan.

Malah, keputusan untuk meluluskan atau menolak projek RMM dibuat Mesyuarat Exco secara bersama atau ‘collective’ dan bukan keputusan Exco Perumahan, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Beliau menjelaskan setiap keputusan juga diteliti oleh Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Selangor (JPBP), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Dalam usaha Kerajaan Negeri menambah projek RMM kata Iskandar, pemaju dibenarkan membuat permohonan untuk menggantikan Rumah Kos Rendah dengan RMM.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, permohonan untuk membina RMM  hanya boleh diluluskan jika permintaan untuk Rumah Kos Rendah di sesuatu kawasan terlalu rendah atau terdapat banyak Rumah Kos Rendah yang masih tidak terjual di kawasan tersebut.

“Setiap permohonan akan disiasat JPBD, PBT dan LPHS yang akan mengemukakan ulasan teknikal kepada Mesyuarat Exco.

“Berdasarkan ulasan teknikal itu, Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan sesuatu permohonan.

“Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak-pihak yang terlibat.

“Jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS, badan yang terlibat secara langsung menguatkuasakan dasar perumahan negeri, namun ia masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco,” kata Iskandar dalam kenyataan media.

Oleh itu kata Iskandar, beliau mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang mahu menyiasat atau mengaudit proses kelulusan dan embinaan RMM di Selangor.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut mengambil kira bentuk pembangunan, kemudahan awam dan infrastruktur di sekitar projek RMM itu.

Tiada ulasan: