DETIK DAILY
Sejak Oktober 1990 dasar pentadbiran Islam terlaksana di Kelantan dan mulai saat itu UMNO
tidak berani mengungkit-ungkit dari segi rasionalisasinya. Meskipun
begitu pada 1993, saat diluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II)
melibatkan hukum hudud, takzir dan seumpamanya, Dr Mahathir selaku
Perdana Menteri ketika itu memulakan 'pendekatan mengkritik' dan
menolaknya sambil melabelkan enakmen itu sebagai "Hudud PAS." Ia suatu
serangan melibatkan akidah dan politik takut kepada non-Muslim.Apa pun pendekatan Dr Mahathir itu belum cukup untuk masyarakat non-Muslim (ketika itu) berani campur tangan (atas label yang Dr. Mahathir mengenai enakmen kanun jenayah), kerana itu hal ehwal umat Islam. Malah sebahagian besar non-Muslim di Kelantan boleh menerima enakmen itu kerana ia tidak melibatkan penguatkuasaan ke atas non-Muslim.
Namun kesan daripada pendekatan dan label Dr Mahathir itu membuatkan pemimpin MCA (sekarang menjelang pilihan raya) mula berani mengambil langkah penentangan selepas 22 tahun PAS mentadbir. Bukan sahaja MCA sesekali turut melibatkan pemimpin DAP, selain UMNO juga mulai lantang mengkritik pentadbiran Islam di Kelantan. Ia sudah menjadi kemenangan moral untuk PAS yang sudah banyak berjasa menengahkan prinsip Islam dalam kerajaan negeri.
Apa pun pada Oktober lalu, timbul isu (kerana dekat pilihan raya) peniaga kedai gunting tidak senang dengan penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang menyaman kedai gunting kerana beroperasi tidak mengikut syarat lesen. Syarat lesen hanya mengunting sesama wanita atau sesama lelaki sahaja. Tetapi ada kedai gunting yang mengunting berlainan jantina (unisex). Maksudnya pegunting wanita mengunting pelanggan lelaki. Sedangkan yang dibenarkan wanita boleh mengunting pelanggan wanita sahaja. Perlanggaran syarat lesen itu mungkin disengajakan atas hak non-Muslim (khususnya sosial orang Cina) yang tidak melarang, malah agama mereka dikatakan membolehkan wanita menggunting lelaki. Maka mereka sedia tidak mematuhi syarat lesen. Kesannya,ia telah menjadi isu politik apabila MCA dan DAP mulai bising, kononnya undang-undang Islam sudah dikenakan ke atas non-Muslim!
Sebelum ini tidak pun dibisingkan soal syarat tersebut. Ia sudah telah dilaksanakan kira-kira 20 tahun lalu. Ia kerana senario sosial (kesan pentadbiran BN di Kelantan) yang banyak terbuka ruang maksiat, termasuk pelacuran di sebalik perniagaan salon unisex. Hal ini diakui sendiri oleh Cikgu Lau (bekas Setiausaha Parti Gerakan Kelantan). Justeru peraturan melarang menggunting wanita-lelaki atau lelaki-wanita dilaksanakan. Rasional seawal pentadbiran Islam (selepas PAS mengambil alih daripada BN) adalah atas alasan untuk mencegah perkara mungkar (maksiat dan pelacuran).
Realitinya pada masa itu, masyarakat non-Muslim boleh menerima tujuan baik kerajaan negeri Pimpinan Ulama, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Setiap kali pilihan raya, peraturan mencegah kemungkaran itu diuar-uarkan dan ia mendapat sokongan padu umat Islam. Pendekatan dakwah-politik itu tidak mampu dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah kuasa BN. Justeru pemimpin UMNO terdiam dan akur dan cuba mengelak daripada dijadikan bahan kempen (bimbang takut makan diri).
Apa pun selepas dibisingkan isu tuntutan peniaga kedai gunting (mahukan peraturan itu dipinda), timbul hujah dan alasan--kedai gunting sekarang sudah profesional, keadaan kedai gunting sudah telus dan beroperasi di tempat terbuka--maka mereka mendesak (melalui perjumpaan wakil persatuan peniaga Cina) pihak kerajaan negeri Kelantan membenarkan kedai gunting unisex. Sosial non-Muslim (khususnya kalangan masyarakat Cina) sekarang bersikap adalah 'tidak salah' menggunting lelaki oleh wanita atau sebaliknya. Justeru mereka menganggap peraturan lama (20 tahun lalu) itu perlu diperbaharui (dibolehkan kepada non-Muslim), kerana ia suatu perniagaan dan perkhidmatan sosial dan tidak lagi bersifat maksiat lagi.
Apa pun keadilan tetap menjadi keutamaan di sisi kerajaan negeri yang berteraskan amalan Membangun Bersama Islam. Atas hak non-Muslim, mereka sudah dibenarkan membuka restoran khusus untuk mereka menikmati hidangan yang hartama di sisi Islam. Mereka juga dibenarkan berniaga dan minum minuman keras (arak atau alkohol). Malahan kerajaan negeri tidak menutup pasar Pokok Pinang di Kota Bharu yang menjual daging babi di tempat terbuka.
Kesemuanya di sisi norma sosial masyarakaat Islam adalah tidak sensitif dan ia menggembirakan masyarakat non-Muslim. Ia suatu keharmonian yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Apa pun, persepsi harmoni dan sejahtera hidup pelbagai kaum di Kelantan itu membuatkan parti politik pesaing (UMNO dan rakan BN-nya) amat iri hati. Atas asas ini, isu kedai gunting yang disaman itu telah digunakan sepenuhnya untuk mengeruh keharmonian dan kesejahteraan. Ia suatu tindakan politik terdesak oleh puak BN di Kelantan.
Walau pun begitu, pihak kerajaan negeri Kelantan tetap bersifat terbuka. Sesi dialog dan penjelasan serta mendengar pandangan daripada pihak terbabit telah diadakan. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberi mandat kepada ahli exco, Dato' Takiyudin Hassan dan Dato' Dr. Mohamad Fadhli Hassan merunding dan mengambil langkah positif bagi mendengar pandangan dan langkah terbaik demi keadilan untuk semua pihak.
Mengambil mandat itu, maka pihak PAS Negeri Kelantan turut menyatakan sikap sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat perhubungan minggu lalu, bersetuju agar hak sosial non-Muslim Kelantan diberi secara adil, termasuklah dalam bab kedai gunting. Kalau kedai babi dan kedai arak dibenarkan apalah susah sangat untuk meraikan hak mengunting. Apa pun hak yang mungkin diberikan secara eksklusif kepada non-Muslim itu perlu mematuhi norma sosial yang positif kepada keharmonian dan kesejahteraan.
Natijahnya kedai gunting untuk semua jantina hendaklah bebas daripada aktiviti tidak bermoral yang ditegah oleh semua agama. Ia boleh diurus secara baik dan profesional. Apa pun ia terserah kepada kebijaksanaan pihak kerajaan negeri Kelantan dalam merangka beberapa peraturan dan syarat yang telus demi menghormati sensitiviti sosial umat Islam. Jika hal ini dapat diolah secara terbaik, UMNO akan terus ternganga dan non-Muslim akan terus selesa bersama Kepimpinan Ulama.http://greencresent-wanibrah.blogspot.c
Tiada ulasan:
Catat Ulasan