Isnin, 24 Disember 2012

Dua beradik antara tiga maut akibat kereta rempuh lori

THE MALAYSIAN INSIDER

IPOH — Dua beradik antara tiga yang maut apabila kereta Perodua Viva yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori di Km 25, Jalan Lumut-Ipoh menghala ke Ipoh hari ini.

Mereka ialah Nur Aleeya Maisara Muhamad Syakir, 6, adiknya Harith Danial, 5, dan pemandu kereta tersebut Mohd Ramli Abdul Wahabm 27, yang kesemuanya meninggal di tempat kemalangan.

Sementara itu dua yang lain cederah parah dalam kemalangan kira-kira 2.30 petang itu iaitu Zalikha Kamarulzaman, 26, ibu kepada kedua-dua adik beradik berkenaan serta adik kepada Zalikha, Mohamad Syarifuddin, 18, yang kedua-duanya sedang dirawat di Hospital Seri Manjung.

Ketika kejadian, Nur Aleeya Maisara dikatakan dipangku oleh Mohamad Syarifuddin di tempat duduk sebelah pemandu sementara adiknya dipangku oleh ibu mereka di tempat duduk belakang.

Ketua Polis Daerah Manjung, DSP Ahmad Mat Isa berkata para mangsa yang merupakan saudara mara itu sedang dalam perjalanan dari arah Lumut menuju Ipoh apabila kereta mereka melanggar belakang lori yang diletak di tepi jalan.

"Kejadian berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan kereta itu tiba-tiba pecah menyebabkan pemandunya hilang kawalan lalu melanggar belakang lori tersebut," katanya.

Beliau berkata lori itu diletakkan di tepi jalan kerana pemandunya berhenti untuk membeli minuman di gerai berhampiran. Polis akan mengambil keterangan daripada pemandu lori itu untuk siasatan lanjut, katanya. — Bernama

Tiada ulasan: